Tengku Azura Tengku Awang bukanlah nama kecil dalam dunia peragaan fesyen tempatan dan antarabangsa.
Memegang gelaran ‘supermodel’ ini, Tengku Azura adalah anak Asia pertama yang dipilih jenama terkenal Christian Dior untuk menggayakan produk mereka di Paris suatu ketika dulu.
Berusia 37 tahun, ibu kepada dua orang anak ini adalah di antara pelakon yang mewarnai filem terbaru arahan Dain Said, Bunohan.
Walaupun hanya melakonkan beberapa babak dalam filem itu, kelibat Tengku Azura dikatakan memberi impak tersendiri dalam filem berkenaan.
Menyentuh mengenainya, Tengku Azura mengakui penglibatannya dalam Bunohan merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.
Katanya pada wartawan, ketika menjalani penggambaran di sebuah perkampungan di negeri Kelantan itu, tubuhnya diserang sekurang-kurangnya 10 ekor lintah besar hampir setiap hari!
” Babak penting melibatkan saya dibuat di kawasan paya, jadi selama dua minggu itu, tubuh saya habis dipenuhi lintah.
” Krew yang bertugas ada menyembur ‘insect repellent’ dan menabur garam di tubuh saya, tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan.
” Kaki saya juga luka kerana bunga lalang, selut juga sentiasa menyaluti rambut sepanjang penggambaran…semuanya sangat mencabar, saya tak pernah melalui semua itu sebelum ini,” kata Tengku Azura.
Menyentuh mengenai wataknya, Tengku Azura menjelaskan, dia adalah isteri kepada pemain wayang kulit, Pok Eng yang bernama Mek Yah.
Namun keluarga Pok Eng menjadi porak-peranda dan berpecah-belah apabila Mek Yah membawa diri, ini kerana dia kecewa kerana suaminya itu berkahwin lain.
Mek Yah kemudian menukar dirinya menjadi buaya putih tetapi masih mengawasi dan merawat anak-anaknya ketika mereka memerlukan.
” Yang pasti, saya tidak mungkin berlakon lagi dalam mana-mana filem selepas ini,” kata supermodel tersebut.
Menurutnya, dia sangat baru dalam dunia lakonan dan dalam usianya yang sudah mencecah 37 itu, dia tidak berhasrat untuk terus bergelumang dalam industri perfileman. – Oleh SYAHRIL A. KADIR
No comments:
Post a Comment