KUALA LUMPUR – Pelakon jelita, Fouziah Gous akhirnya menjawab persoalan media mengenai hubungan cintanya apabila mengaku sedang intim dengan seorang ahli korporat berstatus duda dan memegang gelaran Datuk Seri.
Menurut Fouziah, dia mengenali kekasihnya itu sejak beberapa tahun dan hanya mula menjalin hubungan yang lebih serius sejak beberapa bulan yang lalu bagi mengenali hati budi masing-masing.
“Hati saya mula terbuka untuk rapat dengannya selepas melihat ketulusan dan kesungguhan dia untuk berkawan dengan saya.
“Malah, dia yang kebetulan rakan niaga abang saya ada menyuarakan hasratnya kepada abang untuk melamar saya.
“Masih terlalu awal untuk saya ulas panjang kerana kami sedang mengenali hati budi dengan lebih mendalam pada waktu ini,” katanya yang dipetik dari Mstar Online hari ini.
Aktres yang kini berusia 29 tahun itu sering dilihat bertemankan kekasihnya itu di beberapa majlis hiburan yang berlangsung sejak kebelakangan ini dan ia menimbulkan gosip mengenainya.
Menjelaskan perkara yang menjadi ‘gosip panas’ di kalangan media itu, Fouziah berkata bahawa tiada apa yang dia mahu sembunyikan mengenai hubungannya dengan Datuk Seri tersebut dan meminta agar diberi peluang untuk menjalin hubungan dengan seorang kekasih.
“Sejak dulu lagi saya tiada apa hendak sorok atau berpura-pura jika saya memang berkawan dengan seseorang. Sebelum ini, ramai yang mendakwa mengenai hubungan kami tetapi saya nafikan kerana memang ia belum berlaku ketika itu.
“Hanya baru-baru ini sahaja kami mula keluar dan mengenali antara satu sama lain.
“Umur saya makin meningkat dan sudah bosan kerana selama ini kurang bergaul dan berkawan dengan lelaki.
“Berilah peluang kepada saya untuk berkawan dan mengenali lelaki. Bagi kami berkawan dulu, jika jodoh tertulis dengan dia saya sudah bersedia untuk berkahwin,” katanya lagi.
Sehingga kini, media yang sememangnya sangat mengenali Datuk Seri yang dimaksudkan itu dan menyifatkan beliau sebagai seorang yang mesra media.
Manakala bagi Fouziah, dia lebih tertarik kepada karakter budiman dan kesederhanaan yang dimiliki kekasihnya itu. – Mynewshub.my
No comments:
Post a Comment