Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Sunday, March 18, 2012

Kisah Inspirasi Jutawan Tony Fernandes.

MUNGKIN ramai yang tidak menyedari bahawa seorang ahli muzik yang pernah mengetuai syarikat rakaman Warner Music (M) Sdn. Bhd., Tony Fernandes kini merupakan seorang tokoh korporat tanah air yang disegani kerana kejayaannya mencetus revolusi dalam industri penerbangan rantau Asia.

Bagaimanapun, kejayaan yang dibinanya sejak enam tahun lalu itu, bukannya datang bergolek, kerana Fernandes, yang mahir bermain keyboard itu, terpaksa melalui ‘ranjau dan duri’, sebelum berjaya membina firma penerbangan tambang murah AirAsia Bhd. sehingga dikenali di peringkat antarabangsa pada masa ini.



Kejayaannya itu juga telah mengheret beliau ke dalam kancah kontroversi termasuk dikaitkan dengan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, tokoh korporat T. Ananda Krishnan (seorang hartawan), Tan Sri Vincent Tan (tokoh korporat), Datuk Mokhzani (anak Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan beberapa orang lain, tetapi Fernandes mengambil sikap ‘membisu’ kerana tidak mahu kontroversi itu merebak menjadi isu.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia itu ketika menceritakan detik permulaan beliau menceburi industri penerbangan berkata: “Saya sudah lama bercita-cita ingin menceburi perniagaan secara serius, tetapi tidak tahu perniagaan apa yang ingin dijalankan.”

Fernandes berkata, idea untuk menubuhkan syarikat penerbangan datang secara spontan semasa beliau berada di London, ketika menonton televisyen.

“Saya tertarik melihat iklan sebuah syarikat penerbangan tambang murah, Easyjet. Kemudian saya bergegas ke Lapangan Terbang Luton (di London) dan menghabiskan masa selama dua hari di sana.

“Saya tertarik dengan konsep perniagaan itu dan bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan itu di Malaysia dan menyimpan impian untuk mengembangkan konsep itu di rantau Asia,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Katanya, setelah kembali ke Malaysia, beliau telah menyatakan hasratnya itu untuk menubuhkan syarikat penerbangan kepada kawan rapatnya (Datuk) Kamarudin Meranum yang merupakan bekas kakitangan sebuah bank pelaburan dan kini menjadi Pengarah Eksekutif AirAsia.

“Saya mengenali Kamarudin menerusi Sheila Majid (Ratu Jazz Malaysia) dan selain itu, Kamarudin juga merupakan kawan rapat kepada Roslan Aziz (penerbit muzik).

“Saya menyatakan hasrat saya untuk menjadi usahawan dan menubuhkan syarikat penerbangan kepada Kamarudin.

“Setelah mendengar penjelasan saya itu, Kamarudin bersetuju untuk bersama dan kami kemudian mengeluarkan wang simpanan masing-masing dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM1 juta sebagai modal permulaan,” katanya.

Fernandes berkata, beliau masih ingat lagi tarikh keramat itu ialah pada Mei 2001.

Beliau dan Kamarudin menjemput seorang lagi rakan baik mereka dalam industri muzik tanah air iaitu Aziz Bakar untuk menyertainya.

“Kami kemudian menemui Datuk Pahamin Ab. Rajab, untuk meminta bantuannya bagi mendapatkan lesen penerbangan.

“Kami meminta bantuan Pahamin kerana beliau sebelum itu banyak membantu industri muzik dalam memerangi cetak rompak semasa menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Perdagangan Hal Ehwal Dalam Negeri,” katanya.

Menurut Fernandes, Pahamin kemudian mengatur temu janji bagi pihak kami dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.

“Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir telah memaklumkan bahawa lesen syarikat penerbangan tidak lagi dikeluarkan dan jika kami berminat, kami diminta mengambil alih mana-mana syarikat penerbangan yang ada ketika itu.

Gandingan dua usahawan hebat Tony Fernandes dan Kamrudin Meranun

“Pahaminlah yang telah menukar impian kami menjadi kenyataan,” katanya.

Atas jasanya (Pahamin) itu, Fernandes berkata, beliau telah mempelawa Pahamin menjadi rakan kongsi.

Fernandes dan rakan-rakan kongsinya itu kemudian mengambil alih syarikat penerbangan AirAsia Sdn. Bhd. daripada DRB-Hicom Bhd. menerusi Tune Air Sdn. Bhd., pada 8 September 2001 untuk diterapkan konsep tambang murah.

Ketika mengambil alih Tune Air, mereka juga terpaksa mengambil alih hutang tertunggak syarikat tersebut dengan Malaysia Airlines Bhd., Malaysia Airport Holdings Bhd. dan Petronas yang berjumlah RM20 juta, katanya.

“Selepas mengambil alih AirAsia, kami diberi tempoh selama enam bulan untuk melunaskan kesemua hutang yang tertunggak itu.

“Kami telah berbincang bagi mencari jalan bagaimana untuk menjelaskan hutang tersebut kerana kami tidak mempunyai modal yang mencukupi,” katanya.

Penyelamat

Menurut Fernandes, penyelamat mereka ketika itu adalah kontrak AirAsia dengan Tabung Haji yang diwarisi daripada DRB-Hicom, yang menjana keuntungan kepada AirAsia.

Beliau berkata, keuntungan daripada kontrak AirAsia itu telah digunakan untuk membayar balik hutang tersebut.

“Kontrak penerbangan jemaah haji yang berbaki dua tahun ketika kami mengambil alih AirAsia telah menjadi penyelamat, kalau tiada kontrak itu, tak tahulah apa yang mungkin berlaku pada kami ketika itu.

“Kami juga telah meminta seorang lagi rakan kami iaitu, bekas pemain gitar base kumpulan Discovery (Datuk) Nasser Abdul Kassim yang pernah bermain bersama Fauzi Marzuki dan Goh Boon Hoe untuk menguruskan kontrak tersebut,’’ katanya.

Nasser kini merupakan Pengarah Rantau Kargo AirAsia, tambah beliau.

Nasser berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang, namun begitu kontrak tersebut tidak dilanjutkan kerana kerajaan memberikan kontrak itu semula kepada MAS, katanya.

“Kami di AirAsia memang suka berkawan dan kami melantik kawan-kawan daripada pelbagai latar belakang dan keturunan untuk menjadi rakan kongsi kami. Ternyata formula ini telah membuahkan kejayaan kepada AirAsia,” katanya.

Fernandes berkata, kejayaan AirAsia bukan sahaja merupakan manifestasi kejayaan negara tetapi merupakan simbol kejayaan masyarakat majmuk dalam menguruskan sebuah syarikat perniagaan.

Ketika menceritakan lebih lanjut perkembangan AirAsia, Fernandes berkata: “Baru-baru ini, kami telah melantik Mark Lankester (adik kepada pelakon Susan Lankester) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Tune Hotels.Com; Datuk Seri Kalimullah Hassan sebagai Pengerusi AirAsia X; Tengku Zafrul Aziz (bekas Ketua Avenue Securities Sdn. Bhd.) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tune Money Sdn. Bhd. dan penyanyi rock, Jason Lo sebagai Ketua Eksekutif Tune Talk Sdn. Bhd.”

Fernandes berkata, beliau mengenali Kalimullah semasa makan di sebuah restoran.

Tune Hotel London

Tune Hotel lambang kejayaan usahawan Malaysia

Beliau berkata, kesemua mereka itu adalah rakan-rakan rapatnya dan langkah melantik mereka ke dalam syarikat adalah bertujuan mengembangkan AirAsia.

“Saya sedar, kejayaan besar saya dalam tempoh yang singkat itu telah menimbulkan pelbagai tuduhan kononnya syarikat kami dimiliki oleh Ananda Krishnan, Vincent Tan, Mokhzani, Khairy dan beberapa orang lain.

“Malah ada yang mendakwa nombor pendaftaran pada pesawat kami bermula dengan ‘AK’ membawa maksud Ananda Krishnan. Sebenarnya nombor itu telah lama ada pada pesawat kami dan kami warisi nombor itu daripada syarikat induk terdahulu iaitu DRB-Hicom Bhd.,” katanya.

Sambil menafikan semua desas-desus itu, Fernandes berkata, kejayaan syarikat tersebut adalah hasil kerja keras seluruh warga kerja AirAsia yang terdiri daripada berbilang kaum, yang bertungkus-lumus membawa AirAsia ke puncak kejayaannya sekarang.

Mengenai hubungannya dengan Khairy, Fernandes berkata, beliau mengenali Khairy semasa Naib Ketua Pemuda UMNO itu memperkenalkan program pasukan bola sepak berkonsep realiti, MyTeam pada tahun 2006.

“Saya tertarik dengan konsep itu kerana merasakan ia berpotensi untuk diketengahkan dan kemudian bersetuju menaja pasukan tersebut, tidak lebih daripada itu,” katanya.

Fernandes juga bangga kerana kejayaan AirAsia adalah atas sikap berdikari dan tidak bergantung kepada subsidi kerajaan.

Katanya, tiada yang istimewa dalam AirAsia, sesiapa sahaja mampu melakukannya, jika ada tekad dan azam yang kuat, di samping sikap tidak mahu mengalah.

Dalam tempoh enam tahun sejak penubuhannya, kakitangan AirAsia kini meningkat daripada 200 orang kepada 5,000 orang dengan pesawat meningkat kepada 65 buah berbanding dua buah pesawat pada permulaan dan jumlah penumpang daripada 200,000 setahun kepada 18 juta setahun.

Kini Fernandes dan rakan-rakan daripada semua kaum membuktikan syarikat Malaysia mampu bersaing di pentas global dan mengubah landskap industri penerbangan negara selaras dengan label syarikat itu, ‘Now Everyone Can Fly’.

No comments:

Post a Comment