Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Saturday, March 31, 2012

Tan Sri Annuar Musa lawan FAM

KEMELUT yang melanda hubungan antara Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa dengan badan induk bola sepak Malaysia itu kini semakin memuncak selepas beliau diarahkan untuk berdepan Jawatankuasa Tatatertib, 4 April ini.

Sesetengah pihak berpendapat, kelantangan ‘orang kuat’ bola sepak Kelantan itu wajar dihukum kerana dosa Annuar yang paling besar adalah mengkritik prestasi pasukan Harimau Malaya yang di bawah kelolaan persatuan berkenaan.

Bagi FAM, kritikan boleh dilemparkan namun, ia harus dalam bentuk yang ‘enak’ didengar dan tidak terlalu keras terutama melibatkan pasukan kebangsaan yang telah membuktikan keupayaannya menjuarai beberapa kejohanan sebelum ini.

Annuar sepatutnya belajar daripada kesilapan yang dilakukan oleh dua bekas Naib Presiden FAM sebelum ini, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang digantung kerana mengkritik FAM.

Namun, tidak ada yang perlu dikesalkan, nasi sudah menjadi bubur, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, Annuar perlu berdepan tindakan disiplin yang akan diputuskan kelak.

Kini seluruh peminat Kelantan sudah tentunya tidak berpuas hati dengan apa jua bentuk tindakan yang akan dikenakan kepada bapa pembangunan bola sepak mereka itu kecuali Annuar dilepaskan tanpa sebarang hukuman.

Sebarang bentuk hukuman sama ada Annuar digantung atau diharamkan terus daripada dunia bola sepak Malaysia, pastinya ditunggu penuh minat oleh seluruh peminat bola sepak Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Siber Kelantan (Klate.Net), Mahizi Mahmood, berkata, teguran yang diberikan oleh Annuar seharusnya dilihat dalam bentuk yang positif.

Katanya, sebagai seorang Timbalan Presiden, Annuar mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pendapat dalam usaha untuk terus memantapkan pasukan kebangsaan.

“Sepatutnya teguran itu tidak dilihat dalam konteks kritikan sebaliknya satu nasihat untuk kita sama-sama melihat proses pemantapan pasukan kebangsaan secara berterusan.

“Bagi saya, teguran tersebut telah disalahertikan oleh mereka yang berkenaan dan saya yakin ia mempunyai kaitan dengan ‘tangan-tangan ghaib’ yang cuba menjatuhkan Annuar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, jika diteliti semula, kenyataan yang dikeluarkan oleh Annuar adalah bersifat umum dan sebagai salah seorang tenaga pentadbir di dalam FAM, sudah tentu kenyataan berkenaan tidak bersifat untuk mengaibkan.

Katanya, kemelut tersebut juga berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Annuar dalam satu sidang media dan beliau hanya menjawab soalan yang diajukan oleh wartawan.

“Annuar berdepan pertuduhan Artikel 88 di bawah Perlembagaan FAM iaitu memberikan kenyataan media tanpa kebenaran Presiden dan Setiausaha Agung.

“Jika itu diambil kira, semua orang di dalam FAM tidak boleh bercakap kecuali kedua-dua individu ini tetapi, hakikatnya ramai yang mengeluarkan pendapat di dalam FAM dan mungkin secara kebetulan apa yang dicakap itu bersifat memuja dan memuji menyebabkan mereka tidak dikenakan tindakan,” ujarnya.

Mengulas mengenai titah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, yang menyatakan Annuar sudah melakukan kesalahan besar, Mahizi berkata, beliau bimbang dengan keputusan yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib itu nanti.

“Titah tersebut sudah pastinya akan mempengaruhi keputusan yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dan kita bimbang ia menjadi suatu keputusan yang tidak adil,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment