Followers

Search This Blog

Loading...

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Monday, August 16, 2010

Ayu OIAM Lebih Berhati-Hati

Ayu mengakui pengalaman lalu mematangkannya.

Pengalaman yang dilalui, tidak kisah manis atau pahit, ternyata mampu mendewasakan sesiapa sahaja.

Inilah jua yang diakui oleh bekas juara program realiti popular, One In A Million (OIAM) musim kedua, Ayu yang mengambil langkah untuk lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian, selepas dibelenggu dengan kemelut peribadi sedikit masa lalu.

Berkesempatan bertemu dengan Ayu baru-baru ini, dia berterus terang memberitahu, apa yang telah berlaku sebelum ini akan dijadikan sebagai teladan dalam hidupnya. Kini, dia mahu tampil dengan semangat baru demi anak tunggalnya, Syed Nashrul Haikal, lapan bulan, serta keluarga barunya.

"Kalau dulu, saya mungkin masih keanak-anakan dan tidak mengambil berat dengan benda-benda yang dianggap kecil. Tetapi selepas apa yang berlaku, perkara yang dianggap kecil bagi orang lain, saya anggap ianya sebagai besar.

"Kini, saya telah bergelar ibu dan juga isteri. Tanggungjawab juga semakin besar. Apa sahaja yang saya mahu lakukan, saya sentiasa ingat akan anak dan suami. Jika dahulu, lebih bebas untuk keluar bersama rakan-rakan, tetapi kini setiap hari saya perlu melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh baju, mengemas rumah dan memasak," katanya yang kelihatan semakin matang apabila berbicara.

Dalam pertemuan itu juga, penyanyi yang popular dengan lagu “Hanya Di Mercu” itu memberitahu, kini anaknya bersama ibunya di Sabah. Tetapi itu tidak bermakna dia mengabaikannya. Sebaliknya, ibunya sendiri yang mahu mengasuh cucunya itu kerana sedar Ayu selalu sibuk dengan pelbagai aktiviti seni.

"Walaupun anak saya tidak bersama saya, tetapi hubungan kami tetap rapat. Kami selalu berhubung melalui telefon dan jika punya kesempatan, saya akan pulang ke Sabah.

"Malah untuk sambutan Aidilfitri tahun ini juga, saya dan suami akan menyambutnya di Sabah. Pada saya, membesarkan serta mengasuh anak bukanlah satu masalah besar kerana sebelum ini pun saya sudah biasa mengasuh adik-adik saya yang ramai," ujar anak sulung lima beradik ini ceria.

Bekerjasama dengan Hafiz & Aril AF
Ditanya tentang 'kehilangannya' sebelum ini hingga menyebabkan peminat seakan-akan lupa mengenai dirinya, Ayu memberitahu perkara tersebut sedikitpun tidak mendatangkan masalah kepada dirinya.

Sebaliknya dia mengakui tiada khabar baru yang ingin dikongsikan bersama peminat, menyebabkan dia lebih selesa mendiamkan diri.

"Sebenarnya saya masih ada dalam dunia seni dan masih mengadakan persembahan apabila ada jemputan. Cuma tidak banyak cerita mengenai saya di media kerana tiada yang baru untuk saya ceritakan.

"Daripada bercerita mengenai hal yang tidak kena dan akhirnya membuatkan peminat bosan, lebih baik saya mendiamkan diri. Saya rasa bukan saya sahaja, malah artis-artis lain juga akan mengambil pendekatan yang sama.

"Kini saya muncul semula kerana proses pembikinan album baru bakal bermula tidak lama lagi. Sudah beberapa buah lagu dikumpulkan oleh syarikat rakaman, Monkey Bone. Cuma proses rakaman saya belum pasti bila ianya akan bermula.

"Sempena bulan Ramadhan dan Syawal, saya telah siap merakamkan sebuah lagu raya, “Hanya Kerana Cinta” untuk album ‘Hangatnya Raya’. Lagu ini sangat istimewa kerana saya bekerjasama dengan Hafiz dan Aril AF," jelas Ayu yang sebelum ini pernah muncul dengan album berjudul ‘Inspirasi’.

Diusik dengan persoalan mengenai proses pembikinan albumnya yang mengambil masa terlalu panjang untuk diterbitkan, anak kelahiran Sabah ini menganggap perkara tersebut sebagai perkara biasa.

Katanya dengan keadaan industri seni yang tidak menentu, semua pihak lebih selesa mengambil sikap berhati-hati dan menghasilkan hanya produk terbaik untuk peminat.

"Saya lebih selesa begini. Ini kerana saya dan syarikat rakaman punya masa yang cukup untuk mencari lagu-lagu yang benar-benar berkualiti. Jika dihasilkan dengan keadaan tergesa-gesa, saya risau hasilnya akan mengecewakan.

"Sebelum ini pun album sulung saya lambat untuk diterbitkan, namun saya puas hati kerana peminat menyukai album tersebut.

"Mengikut kontrak, saya masih perlu menyempurnakan empat buah album bersama Monkey Bone dan saya yakin pihak syarikat mempunyai strategi bagi memastikan kerjaya seni saya terus bersinar," ulasnya positif.

No comments:

Post a Comment