Followers

Search This Blog

Loading...

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Wednesday, August 11, 2010

Nasi Arab


Assalamualaikum semua... di hujung minggu macam ni, ramai yang mengambil peluang bersama keluarga kan.. ada yang masak untuk keluarga dan makan bersama, tak kurang juga yang keluar bersiar-siar, membeli-belah dan makan-makan bersama keluarga. Apapun aktivitinya, moga semuanya bergembira.

Hari ni K.An nak kongsi resepi nasi Arab yang mudah dan paling asas menggunakan bahan yang ada di dapur kita sentiasa. Tak tahulah kenapa, mengandungkan anak ke-6 ni, K.An suka makan yang 'simple' je, kurang berempah tapi kena ada pedas... Sayur atau salad kena banyak.. Itulah ragam ibu mengandung...
Kebetulan pulak di Malaysia ni dah dilanda fenomena restoran makanan Arab yang muncul bagai cendawan di merata tempat di Kuala Lumpur ni. Nasi beriyani Arab makin popular, menggantikan nasi beriyani mamak atau versi India/ Pakistan.
Bagi K.An, rasanya memang ringkas, tidak muak dimakan banyak sebab tidak berempah atau berlemak. Sejak mengandung ni, memang berulangkali kami makan nasi Restoran Saba' di Cyberjaya (dine-in ataupun tapau). Kalau tak pun K.An buat Nasi Maqlubah kat rumah. Belum jemu lagi.. Tapi pilihan K.An memang nasi berlaukkan ayam panggang (grilled).. kambing atau daging, kurreng sikit la...

Ok semua.... jom kita tengok resepi ni yang disesuaikan daripada resepi nasi Chicken Mandy dari blog Ya Salam Cooking... Asalnya nak buat Chicken Mandy tapi bahan tak cukup.. jadi ikut yang mudah ni je.. Rasanya tak mengecewakan tukang rasa no. 1... (cik abang sayalah tu...)- tak cukup nak makan sampai malam...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 ekor ayam- boleh dipotong 2 atau dipotong 5 ikut citarasa
2 sudu besar rempah kurma ayam/daging- bancuh dengan 1/2 cawan air
1/2 sudu teh serbuk kulit kayu manis
2 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
5 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bwang putih dihiris
1/2 inci halia dihiris halus
7 cawan air
3 sudu besar minyak masak


Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumis semua rempah ratus,(kecuali serbuk kulit kayu manis) bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan rempah kurma. Tumis hingga pecah minyak sambil dikacau sekali-sekala. Gunakan api perlahan.

2. Masukkan air dan ayam. Biar hingga mendidih. Masukkan garam secukupnya dan biar mereneh 5 minit. Tutup api dan keluarkan ayam dari sup. Gaul ayam dengan serbuk kulit kayu manis dan panggang dalam ketuhar atau kuali. (ikut citarasa nak garing macamana)

Bahan untuk nasi:

2 1/2 cawan beras basmathi- basuh dan toskan
4 cawan air rebusan/ sup ayam tadi
1 labu bawang besar didadu kecil
1 biji tomato didadu kecil
5 biji lada hitam
5 biji buah pelaga
2 sudu besar margerin/ mentega
1 helai daun pandan-carik dan simpul

Cara memasak.

1. Panaskan margerin di dalam periuk nasi di atas dapur. Tumis bawang besar, buah pelaga dan lada hitam hingga bawang layu sedikit. Masukkan beras , kacau dan goreng seketika. (1 minit)

2. Masukkan sup dan alihkan periuk ke punca elektrik. Masukkan daun pandan ke dalam periuk. Masak nasi seperti biasa. Apabila nasi masak, taburkan buah tomato dan gaul sedikit. Boleh juga diwarnakan nasi seperti nasi beriyani jika suka.

3. Hidangkan nasi bersama salad, ayam, coleslaw dan sup.

No comments:

Post a Comment