Followers

Search This Blog

Loading...

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Sunday, April 24, 2011

Omardin Buktikan Ketangkasannya…

Omardin Buktikan Ketangkasannya...

Pengasas Seni Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju membuktikan beliau masih tangkas dan bertenaga meskipun usianya sudah mencecah 70 tahun dengan melakukan aksi berenang sejauh kira-kira 200 meter di tengah laut dengan jarak satu batu nautika dari Pulau Besar, di Melaka, Khamis lalu.

Meskipun, kini mengalami masalah jantung, namun menurut beliau tindakannya itu adalah sebagai perangsang kepada generasi muda bahawa seni silat mampu memberi daya ketahanan buat seseorang meskipun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

Katanya, langkah itu, turut diikuti anak keempatnya, yang juga salah seorang pewaris silat lincah, Putra Al-Farouk Omardin, berusia 10 tahun.

“Biarpun, orang kata tindakan saya bagai hendak membunuh diri berikutan sebelum ini, saya sudah tiga kali diserang penyakit jantung.

“Tetapi bagi saya, apa yang saya lakukan ada sebab, demi untuk menunjukkan kepada pewaris saya terhadap kekuatan kerohanian menerusi silat mengatasi tahap kesihatan dan usia,” katanya ketika ditemui sebaik berjaya melakukan aksi tersebut di Pulau Besar.

Beliau yang juga ahli Dewan Perguruan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) berkata apa yang dilakukan juga sebagai mengisi salah satu babak dokumentari untuk program televisyen tempatan sempena sambutan 50 tahun silat lincah Malaysia.

“Program itu nanti juga akan memaparkan biografi mengenai saya dan pejuang-pejuang silat lincah sepanjang 50 tahun lalu.

“Acara ini diadakan di Pulau Besar berikutan silat lincah berasal dari Pulau Besar di mana saya telah dilatih lebih setengah abad lalu.

“Kerana di pulau inilah saya mengenali silat Melayu dan sehingga kini saya berjaya membawa silat Melayu di peta dunia,” katanya.

Omardin menjelaskan, kira-kira 50 tahun dahulu, dia mampu berenang dari Pulau Besar sehingga ke jeti nelayan di Umbai sekarang.

“Mengikut sunnah, kita memang digalakkan mempelajari ilmu berenang di samping berkuda dan memanah apatah lagi bagi seorang ahli silat.

“Apa yang dilakukan juga ada mesej tersendiri untuk melambangkan kekuatan orang Melayu itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, menurut anaknya, Putra Al Farouk, dia begitu kagum melihat kemampuan bapanya meskipun bimbang dengan keadaan kesihatan bapanya.

“Suatu hari nanti, bila saya besar, saya akan menjadi seperti ayah katanya,” katanya.

No comments:

Post a Comment