Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Monday, September 20, 2010

Review: Filem Asam Garam Senario

Filem arahan Prof Dr Hatta Azad Khan ini akan memasuki pawagam pada Aidilfitri ini bersama dengan sebuah lagi filem arahan seorang Professor iaitu ‘4 Madu’, arahan Prof. Razak Mohaideen. Berbeza dengan filem-filem Senario terdahulu, kali ini hanya Azlee dan Lan Pet Pet yang membintangi filem ini. Wahid difahamkan ada komitmen lain dengan pihak TV3.

Jika diperhatikan, jalan cerita ‘Senario Asam Garam’ ada persamaan dengan jalan cerita filem ‘Aman’ yang tidak jadi diterbitkan pada tahun lalu. Perkara ini diakui oleh Prof Hatta sendiri. Menurut pensyarah Universiti Teknologi Mara ini, memang ada sebahagian idea daripada filem ‘Aman’ dibawa ke ‘Senario Asam Garam’. Tetapi, beliau menafikan ia adalah cerita yang sama.

Peluang menyaksikan filem ini pada minggu lalu membuatkan GUA berasa sedikit hampa kerana ia tidak seperti yang diharapkan. Ingatkan buah tangan daripada Prof Hatta mampu membuatkan GUA ketawa berdekah-dekah, tetapi sebaliknya berlaku. GUA berasa bosan kerana jalan ceritanya agak meleret-leret. Kelainan yang ada pada filem ini hanyalah gabungan kehebatan gajet dan kepintaran seorang kanak-kanak lelaki.

Lakonan Azlee dan Lan Pet Pet sama sahaja dengan filem-filem Senario terdahulu. Tidak perlu mengharapkan lebih dari itu. Begitu dengan pelakon lain. Julia Hana seperti biasa merelakan dirinya dieksploitasi dengan memegang watak wanita menggoda.

Secara keseluruhan, GUA menganggap filem ini tidak berjaya mencuri perhatian. Memanglah ia sebuah filem komedi ringan untuk tontonan semua lapisan masyarakat, tetapi apa salahnya jika ia diterjemahkan dengan lebih bijak.

‘Senario Asam Garam’ mengisahkan persaingan di antara Pak Adam (Azlee) dan Asam (Zaibo) dalam perniagaan mereka. Pak Adam mempunyai perwatakan yang baik dan menjalankan perniagaan secara jujur dan ikhlas. Manakala Asam pula sebaliknya, suka mengambil kesempatan terhadap orang lain dan cuba mendapatkan apa yang dihajati secara paksaan.

Persaingan mereka bukan sahaja dalam perniagaan malah turut bersaing dalam menambat hati seorang janda bernama Cik Hawa (Julia Hana) yang mempunyai anak lelaki bernama Amin (Fimie Don). Cik Hawa menjalankan perniagaan warung makan secara kecil-kecilan dan dibantu oleh anak saudaranya iaitu Odah (Nadia Mustafa) dan Yah (Adeline Tsen).

Info
1. 'Senario Asam Garam akan ditayangkan pada 9 September depan.

2. Penerbit filem, David Teo mensasarkan kutipan RM4 juta untuk filem ini kerana yakin dengan keupayaan Prof. Hatta Azad Khan.

Dibintangi oleh

Azlee Jaafar, Lan Pet Pet, Julia Hana, Zaibo, Fimie Don, Sathiya, Nadia Mustafar dan Syanie
Genre
Komedi
Ulasan
Meskipun diarah pengarah terkenal, Prof Dr Hatta Azad Khan, namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

No comments:

Post a Comment