MUSNAH sudah pelamin yang diimpikan sebelum ini. Harapan penyanyi dan juga bekas peserta program realiti Malaysian Idol ini untuk bergelar isteri untuk kali kedua berkecai di pertengahan jalan. Siapa sangka, ikatan pertunangan yang terjalin antara Farah Asyikin Zulkifli dan duda yang berasal dari Singapura itu tidak lama mampu bertahan.
Sebulan bergelar tunangan orang, Farah akhirnya terpaksa akur lelaki berusia 36 tahun itu bukan jodohnya. Pada awal kejadian, sukar untuk dia menerima hakikat berkenaan. Sedih, kecewa, terkilan, semuanya bersarang dalam jiwa kerana dua kali mengalami kegagalan dalam perhubungan. Kekecewaan pertama menjelma apabila rumah tangga yang dibina berakhir dengan perceraian. Kini, ikatan pertunangan pula terlerai.
Pun begitu, bukan mudah untuk pelantun lagu Hello ini membuat keputusan senekad ini. Meskipun berat, namun demi kebahagiaan kedua-dua pihak, dia terpaksa melakukannya juga walaupun si jejaka cuba menghalang. Tanpa mahu menjelaskan alasan dan punca terputusnya ikatan, Farah menegaskan, apapun yang berlaku antara dia dan bekas tunangnya, mereka tetap berkawan baik sehingga kini. Dan kata wanita ini lagi, peristiwa putus tunang itu juga tidak pernah membuatkan dia serik untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya. Dia percaya, setiap kejadian yang berlaku itu menyimpan hikmah pada penghujungnya. Hip: Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba terdengar khabar yang Farah sudah putus tunang. Boleh komen sikit?
Farah: Perkara ini sebenarnya sudah dua bulan berlaku. Memang saya sengaja tidak mahu menggembar-gemburkan perkara ini hatta soal bertunang pun kerana tidak mahu ia menjadi buah mulut orang, sekali gus menjadikan perkara ini berpanjangan. Sebenarnya, tidak bagus apabila terlalu banyak publisiti mengenai perkara seperti ini. Saya tak mahu ia memberi tempias kurang baik kepada kedua-dua pihak, terutama pada keluarga saya seperti apa yang pernah berlaku sebelum ini.
Apa yang boleh saya katakan, antara kami memang tiada jodoh. Selepas sebulan bertunang, saya dapati memang sukar untuk meneruskan hubungan. Menyedari hakikat itu, akhirnya saya nekad membuat keputusan untuk memutuskan tali pertunangan.
Hip: Adakah keputusan ini atas kerelaan bersama?
Farah: Saya sendiri yang membuat keputusan ini walaupun saya sedar ia membabitkan ramai pihak. Pada awalnya, dia menghalang saya daripada meneruskan hasrat ini dan meminta saya untuk memikirkannya semula. Tapi saya tetap berkeras dan memberikan penjelasan kepadanya sebab dan akibat yang akan timbul jika pertunangan ini diteruskan juga. Saya akui bukan mudah untuk saya membuat keputusan ini. Anggap saja apa yang terjadi disebabkan antara kami memang tiada jodoh. Memang berat untuk saya lakukan, tetapi demi kebaikan kedua-dua pihak, saya rasa lebih baik saya beralah. Apapun, kami masih lagi berbaik seperti dulu. Lagipun keluarga kami sudah saling mengenali antara satu sama lain, jadi walaupun tak jadi berkahwin namun kami masih boleh menjadi sahabat baik.
Hip: Tiada cara lain untuk menyelamatkan hubungan ini?
Farah: Seperti yang ramai sedia maklum, sejak awal lagi hubungan kami banyak menempuhi ranjau dan liku. Selepas bertunang, lagilah banyak dugaan yang terpaksa kami tempuhi. Justeru, saya merasakan lebih baik jika ikatan pertunangan ini diputuskan saja. Secara jujur, apa yang saya alami ketika itu bagaikan satu mimpi. Memang sukar hendak percaya apabila hubungan yang terjalin itu akhirnya terlerai begitu saja. Tapi saya tak mahu terlalu memikirkan perkara ini. Sudah dua bulan ia berlaku dan jika mampu, saya ingin biarkan ia berlalu begitu saja.
Hip: Apakah selepas dua kali mengalami kegagalan dalam hubungan membuatkan Farah serik untuk menerima cinta baru?
Farah: Tak dinafikan, ketika perceraian pertama dulu, saya memang serik untuk mencari pengganti. Terasa sangat yang diri ini gagal menjadi isteri yang baik kerana tidak mampu mempertahankan mahligai yang dibina. Bagaimanapun apabila saya membandingkan nasib orang lain yang mungkin lebih teruk daripada saya, akhirnya saya pasrah dengan ketentuan Tuhan. Itu semua saya anggap sebagai asam garam dalam kehidupan. Yang pasti, perkara ini tidak akan membuatkan saya menutup pintu hati pada mana-mana lelaki.
Hip: Sebelum ini ada laporan yang mengatakan Farah suka pakai baju kurung. Apakah itu satu gimik kerana mahu berumah tangga?
Farah: Itu bukan gimik kerana mahu berumahtangga tetapi ia memang kehendak saya sendiri. Sebelum ini saya sering dilabelkan suka berpakaian seksi, sehingga menimbulkan polemik. Jadi, untuk mengelak daripada terus menjadi sasaran gosip, lebih baik saya memakai baju kurung terutama apabila membabitkan sesi fotografi ataupun apa saja yang acara yang membabitkan rakaman foto. Apabila mengatakan saya lebih selesa berbaju kurung tidaklah bermakna saya tak pakai pakaian lain. Kalau membabitkan acara yang memerlukan saya bergambar, adalah lebih selamat jika saya mengenakan baju kurung.
Hip: Sejak kebelakangan ini Farah agak senyap dalam industri hiburan. Mengapa?
Farah: Saya tidak pernah menyepikan diri dalam bidang ini. Saya masih mendapat undangan mengadakan persembahan. Mungkin saya agak kurang muncul di media sejak kebelakangan ini membuatkan ramai yang menyangkakan saya menyepikan diri. Buat pengetahuan semua, saya akan muncul dengan single baru yang bakal menggandingkan saya dengan vokalis kumpulan Fotograf, Shamrin. Sungguh teruja kerana dia memilih saya untuk berduet dengannya. Lagu dan lirik tulisan saya sendiri itu akan mula diedarkan ke stesen radio dalam jangka masa terdekat. Tunggu saja lagu ini diputarkan di radio.
No comments:
Post a Comment