Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Tuesday, September 21, 2010

Zahnita utama suami, anak

JARANG bagi seorang wanita jelita sanggup mendirikan rumah tangga pada usia muda. Apatah lagi, memiliki tubuh langsing yang menjadi aset utama kariernya. Namun, tidak bagi pelakon dan peragawati terkenal, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 25.

JELITA...Zahnita sibuk dengan karier sebagai peragawati.
JELITA...Zahnita sibuk dengan karier sebagai peragawati.
Berkahwin pada usia muda, 22 tahun, Zahnita kini bahagia di samping suami tercinta, Zackery Ghouse Abdul Gafoor, 32. Malah, rumah tangga dibina mereka lengkap dengan kehadiran seorang cahaya mata, Zahrafeena yang berumur tiga tahun lebih.

Sibuk menguruskan keluarganya, Zahnita masih aktif dengan karier peragawati. Namun, sudah lama dia tidak muncul di pentas lakonan.

Apakah wanita berdarah kacukan ini sudah mengangkat 'bendera putih'?
Bersua dengan Zahnita dan anaknya, Zahrafeena pada sesi fotografi yang diadakan baru-baru ini, ibu muda yang kembali langsing itu tanpa berselindung mengakui dia sekarang tidak berlakon lagi.

Ujarnya, dia masih belum mendapat tawaran yang menarik.

"Memandangkan sudah berkeluarga, saya hanya melakukan kerja yang termampu. Saya tidak mahu terlalu sibuk dengan karier hingga tiada masa bersama suami dan anak. Kalau mahu berlakon pun, mungkin saya akan memilih filem berbanding drama.


"Ini kerana, saya lebih selesa. Apapun, sekarang saya menumpukan sepenuh perhatian pada rumah tangga kerana anak masih kecil. Ditambah lagi, saya tidak menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menjaga Zahrafeena ketika keluar bekerja.

"Sejak bayi, saya senang menjaga Zahrafeena sendiri kerana ia membantu mengeratkan kasih sayang antara kami. Memang tidak dinafikan, hubungan saya dan anak sangat rapat hingga tak boleh berenggang. Bila berjauhan, saya pasti rindu.


"Bahkan, ada kalanya saya membawa Zahrafeena ke tempat kerja. Jadi, dia pun sudah terbiasa dengan karier saya sebagai peragawati. Justeru, tidak dinafikan sekarang ini pun saya sudah mula nampak minat Zahrafeena sebagai model peragaan," katanya.

Ditanya tidakkah dia merindui dunia lakonan, Zahnita berkata selepas dirinya berstatus isteri dan ibu, dia lebih selesa mendahulukan keutamaan suami, anak dan rumah tangga. Penting baginya menjaga keperluan keluarga selain diri sendiri dan karier.

"Saya sangat seronok dan bahagia dengan kehidupan yang dilalui kini. Setakat ini, saya masih mampu menguruskan rumah tangga dan keluarga dengan baik.
"Malah, hubungan kasih sayang yang erat dengan Zahrafeena cukup bermakna bagi saya.

"Disebabkan itu, saya tidak kisah tiada pembantu rumah. Walaupun penat bekerja tetapi apabila melihat keletah Zahrafeena yang riang dan sangat mesra menghilangkan semuanya. Dia anak yang sangat manja dan begitu inginkan perhatian ibu bapa.

"Biarpun usianya masih kanak-kanak, saya suka melayannya seperti kawan. Zahrafeena cergas, pintar dan dia cepat belajar.

"Seronok sangat melihat keletahnya dan saya tak payahlah pembantu rumah," katanya pernah membintangi filem Kuliah Cinta.

Zahnita juga berlakon dalam filem Gila Gila Pengantin Remaja sebagai watak utama. Katanya, dia enggan mengambil pembantu rumah selepas melihat pelbagai insiden yang berlaku.

Ujar Zahnita, cara orang menjaga dengan diri sendiri sangat berbeza.

"Sebagai ibu, pastinya saya lebih menitikberatkan soal keselamatan anak. Jadi, jalan yang terbaik biarlah saya sendiri yang menjaga dengan bantuan keluarga. Malah, saya dan suami sangat selesa dengan cara kami melaksanakan tanggungjawab ibu bapa.

"Secara tidak langsung, ia memberikan pengalaman yang paling berharga dan mematangkan kami menguruskan keluarga. Bukan mudah memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa dan kini saya dapat rasai apa yang pernah dilalui ibu dan ayah," katanya.

Jelas Zahnita, dia dan suami hanya mahukan yang terbaik untuk Zahrafeena. Lantaran itu, mereka merancang menghantar anak tersayang ke tadika tahun depan.

No comments:

Post a Comment