KUALA LUMPUR: Penyanyi Azlan & The Typewriter atau lebih dikenali dengan panggilan Lan akui rezekinya dalam bidang muzik tidak pernah putus sejak mendirikan rumah tangga pada Januari lalu.
Sejak berkahwin dengan Normala Hassan, 28, pemilik nama sebenar Norazlan Rosle, 28, ini sering diundang menjayakan persembahan di ibu negara.
Malah pada 28 April hingga 1 Mei depan Lan bakal membuat persembahan dalam Konsert Wings Opera Hidup dan Superfriends.
Menjadi satu-satunya penyanyi termuda di kalangan ikon rock tersohor negara seperti Man Kidal, Kid Search, Yazit Search, Rosli Mohalim, Hillary, Yan, Edrie Hashim, Ujang, Nash, Hattan, Ramli Sarip, Mus May, Yantzen, Lola dan M. Nasir, Lan menganggap penyertaannya sebagai suatu tuah.
“Saya rasa seperti mimpi dalam mimpi apabila diajak membuat persembahan dalam Konsert Wings Opera Hidup dan Superfriends ini.
“Saya sudah biasa membesar dengan muzik-muzik evergreen seperti lagu Intanku Kesepian nyanyian Wings dan tiada masalah untuk menyanyikan lagu-lagu mereka.
“Saya akan mendendangkan dua buah lagu dari Wings dan sebuah lagu evergreen lain,” kata Lan dalam satu sidang media di Istana Budaya, di sini, Isnin.
Selepas konsert tersebut, penyanyi lagu Gerak Hati ini akan terbabit dengan Joe Wings, Ujang Exist, Hillary Search dan Kelly dalam satu projek band bernama Prima Domestik.
Mereka bakal muncul dengan single Sedingin Pluto.
“Pemilihan saya dalam konsert ini juga sedikit sebanyak kerana pergaulan kami. Walaupun saya muda daripada mereka, tidak menjadi halangan untuk kami bersatu dalam memperjuangkan muzik rock kerana kami tidak mengamalkan kronisme,” ujarnya.
Memandangkan jadual kerjanya agak padat, Lan terpaksa menyelesaikan segala perancangan yang ada dalam fikirannya satu per satu.
Dek kerana sibuk dengan kerja, Lan terpaksa melupakan hasratnya dengan isteri untuk berbulan madu. Namun Lan bersyukur kerana mujurlah isterinya merupakan seorang yang memahami.
No comments:
Post a Comment