Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Saturday, March 26, 2011

Tender MRT dibuka Jun 2011

pix_gal0
Pemenang bagi kerja awal projek diumum sebelum Julai

TENDER pembinaan sebahagian projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang dijadualkan dibuka Jun ini iaitu selepas kajian berhubung kos pembangunannya dimuktamadkan pada bulan sebelumnya.
Susulan itu, pengumuman mengenai pemenang tender bagi kerja awal projek berkenaan dijangka dibuat tidak lama sebelum pembinaannya dimulakan pada Julai ini.

Kajian daya maju projek itu yang kini dilaksanakan Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB), pemilik aset dan pengendali projek itu, dijadualkan selesai pada akhir Mei.

Kerja awal bagi projek berskala mega di kawasan Greater KL itu akan membabitkan pembinaan beberapa kemudahan asas seperti depoh dan pelancar gerabak.

Anggaran awal kos keseluruhan projek itu adalah RM36.6 bilion, sebelum mengambil kira kos berubah lain seperti nilai hartanah dan harga bahan binaan.

Bagaimanapun, penganalisis sebelum ini menganggarkan kos keseluruhan projek itu boleh mencecah RM53 bilion berdasarkan purata RM353 juta bagi setiap kilometer susulan kenaikan harga bahan binaan dan minyak mentah di peringkat global.
Ketua Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Nur Ismal Kamal, berkata kajian daya maju bagi elemen kos keseluruhan pembangunan projek MRT itu kini sedang dalam peringkat rundingan reka bentuk.

Ia katanya, membabitkan penilaian menyeluruh ke atas jajaran sebenar aliran pertama membabitkan laluan antara Sungai Buloh ke Kajang bagi membolehkan kos pembinaannya dimuktamadkan.

Beliau berkata, kajian itu turut mengambil kira persekitaran indeks harga bahan mentah global yang kini sedang meningkat dalam menentukan kos akhir projek itu.

“Berdasarkan perkembangan semasa, adalah terlalu awal dan tidak adil untuk mengatakan kos pembinaan MRT itu akan menjadi terlalu tinggi kerana banyak faktor lain yang perlu diambil kira.

“Kajian daya maju itu akan dimuktamadkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum akhir Mei ini,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan memorandum menyokong projek pembinaan MRT oleh sebuah kumpulan bebas, Jawatankuasa Sokongan Sementara GO-MRT di Kuala Lumpur, semalam.

Memorandum yang mengandungi hasil maklum balas penduduk di lima perbandaran yang terbabit dengan projek itu disampaikan oleh Pengerusi Sementara GO-MRT, Sadvinder Ted Tugal kepada Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Fasa pertama rangkaian projek MRT yang membabitkan laluan Sungai Buloh hingga Kajang dan melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur itu dianggarkan sejauh kira-kira 60 kilometer dengan 35 stesen akan dibina sepanjang laluan itu.

Stesen integrasi akan dibangunkan di lokasi laluan MRT bersilang dengan laluan KTM Komuter, laluan aliran transit ringan (LRT) Kelana Jaya dan laluan LRT Ampang.

Kira-kira 20 peratus daripada kerja pembinaan keseluruhan laluan MRT itu dijangka membabitkan pembinaan terowong atau laluan bawah tanah.

Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.2 juta penduduk di Lembah Klang membabitkan kawasan berkepadatan tinggi seperti Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Bukit Damansara dan Cheras.

Maklum balas dan cadangan daripada orang awam berhubung pelaksanaan projek MRT akan diambil sehingga 14 Mei ini dan akan turut memainkan peranan penting dalam menentukan kos akhirnya.

No comments:

Post a Comment