Hari ini orang memperkatakan pasal muzik Islamik yang dibawakan oleh Maher Zain yang mendamaikan dan menyedapkan halwa telinga. Selain irama dan alunan suaranya yang indah, lagu-lagu pula dihiasi lirik yang mendalam dan menyentuh hati.
Hasrat murni Maher untuk menyampaikan mesej melalui lagu-lagunya tercapai apabila dia diterima dengan baik sekali malah dia sendiri tidak sangka dapat menarik perhatian dalam masa yang singkat. Mengapa Maher tampil dengan muzik sedemikian?
Kata Maher: "Lebih tiga tahun lalu saya seorang yang tidak baik. Saya sangat jauh dengan Allah. Jauhnya saya sehingga saya lupa membaca ayat Al-fatihah. Saya telah melakukan banyak perkara yang tidak baik.
"Saya dibesarkan di Eropah dan bergaul dengan kawan-kawan yang tidak baik. Saya hanya mengikut saja apa-apa bersama kawan-kawan. Sebenarnya pada masa itu saya tahu jiwa saya bukan ke arah itu. Saya rasa janggal dan selalu berhujjah dengan kawan-kawan saya.
"Saya tidak pernah berasa aman membuat apa yang saya buat itu, tapi saya tidak tahu apa yang saya cari sebenarnya. Sehinggalah saya berjumpa dengan seseorang yang membawa saya ke masjid. Barulah saya tahu itulah dia yang saya cari selama ini.
Sebelum menjadi penyanyi, Maher, warga Sweden yang berdarah Lebanon itu pernah terlibat dalam bidang seni sebagai penerbit dan penyusun muzik. Dia tidak pernah bercita-cita menjadi penyanyi sebelum ini. Apabila berhijrah dan kembali mengingati Allah, segala-galanya berubah.
"Bila saya mendapat petunjuk, saya berfikir panjang sama ada meninggalkan terus bidang muzik atau sebaliknya. Saya ambil masa panjang untuk memutuskannya. Sebenarnya pada awalnya saya rakam lagu Always Be There sebagai demo tape untuk diberikan kepada penyanyi Islam lain. Akhirnya saya memutuskan untuk merakam album dan menjadi penyanyi.
"Sebab utama saya membuat album ini kerana kemahuan saya untuk berkongsi perasaan dan pemikiran saya kepada semua orang. Saya mahu mereka tersentuh dengan apa yang telah menyentuh saya serta berkongsi jawapan yang saya temui dalam pelbagai soalan yang bermain dalam fikiran saya sebelum ini," kata Maher.
Bulan madu di Malaysia
Kalau nak tahu Maher dan isteri pernah berhasrat mahu berbulan madu di Malaysia selepas berkahwin pada Jun tahun lalu. Mereka sudah membuat tempahan tetapi terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana hal yang tak dapat dielakkan.
"Kami rasa Malaysia tempat yang paling sesuai untuk dilawati kerana isteri saya mengenakan purdah. Saya mahu tempat yang selesa dan saya tahu Malaysia negara yang boleh membuatkan kami rasa selesa dan selamat.
"Bila saya ke sini sekarang saya tak faham mengapa semua orang berterima kasih kerana saya datang. Saya sebenarnya memang mahu datang ke Malaysia. Sebelum ini saya pernah jumpa dengan Raihan semasa mengadakan persembahan di Kanada," kata Maher.
Nampaknya peluang diundang ke Malaysia digunakan mereka untuk bekerja sambil berbulan madu. Maher akan menghabiskan masa selama dua minggu di sini. Selain mengadakan showcase dan penampilan di kaca TV serta konti radio, Maher juga ada masa untuk bercuti sepanjang di sini.
Showcase sebagai teaser
Maher akan mengadakan show yang dinamakan Maher Zain Save The Soul Showcase pada 14 dan 15 Oktober ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor. Show yang dibawakan oleh Raudhatus Sakinah itu berusaha untuk memberi kesedaran agar gejala membuang bayi dapat dihapuskan.
Sebahagian kutipan tiket akan disalurkan kepada Raudhatus Sakinah, sebuah badan bukan kerajaan yang menjaga kebajikan remaja yang memerlukan perhatian dan asuhan agama. Untuk keterangan boleh hubungi talian 03-41073379.
"Ia sebagai teaser sahaja dan hanya sebuah persembahan yang berskala kecil. Saya harap dapat peluang untuk mengadakan konsert yang lebih besar dengan menggunakan orkestra penuh pada masa akan datang.
"Insya-Allah kalau segala-galanya berjalan lancar, saya akan kembali lagi ke Malaysia untuk mengadakan konsert pada tahun depan," kata Maher.
Maher juga akan muncul dalam persembahan makan malam di Shah Alam Convention Centre pada 12 Oktober pukul 8.00 malam. Jualan meja tajaan korporat dengan harga RM100,000 (platinum), RM50,000 (emas) dan RM30,000 (perak).
Jualan meja pula RM3,000, RM5,000 dan RM10,000 untuk sepuluh orang. Tiket individu pada harga RM300 juga dijual dengan jumlah terhad. Untuk keterangan boleh hubungi talian 03-42604160 atau 03-42518792.
No comments:
Post a Comment