Perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 bakal menemukan kembali pasukan tahun 2009 iaitu antara pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan. Ini kerana perlawanan separuh akhir yang baru berakhir sebentar tadi telah menyaksikan Kelantan berjaya mendominasikan perlawanan menentang pasukanKedah yang kelihatan tidak bermaya dan kurang mendapat bola. Gandingan antara Nor Shahrul Idlan dan Hairudin Omar ternyata menampakkan ketajaman jentera serangan pasukan Kelantan. Namun nasib kurang menyebelahi Kelantan kerana segala usaha dan serangan bertali arus mereka tidak menemui jaring gol Kedah. Kekentalan penjaga gol Kedah juga menjadi penghalang untuk Kelantan menjaringkan lebih banyak gol. Namun kebijaksanaan dari Nor Shahrul Idlan pada penghujung separuh masa kedua berjaya memperdayakan penjaga gol Kedah untuk melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

Aksi perlawanan antara Johor FC dan Negeri Sembilan juga tidak kurang hebatnya, namun tumpuan aku pada perlawanan Kelantan dan Kedah yang disiarkan di Astro Arena CH801. Namun ketika separuh masa pertama Negeri Sembilan sudah mendahului pasukan tuan rumah Johor FC. Memburukkan lagi keadaan, Johor FC terpaksa bermain dengan 10 orang kerana seorang pemain pasukan mereka menerima kad merah.

Sama-sama kita saksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 antara Negeri Sembilan dan Kelantan untuk menentukan kehebatan masing-masing. Mampukah Negeri Sembilan mempertahankan gelaran Piala Malaysia atau berjayakah Kelantan membawa pulang Piala Malaysia ke pantai timur setelah sekian lama kempunan.