Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Saturday, December 31, 2011

10 Filem Tempatan Dengan Kutipan Tertinggi 2011

10 Filem Tempatan Dengan Kutipan Tertinggi 2011

KUALA LUMPUR, 29 DIS 2011: Tahun 2011 nyata merupakan tahun yang amat positif buat penggiat filem tempatan apabila dilihat daripada segi kutipan tiket yang diterima untuk filem yang ditayangkan.

Hampir 42 filem tempatan telah ditayangkan sepanjang tahun ini bermula dari Januari sehingga Disember dan daripada jumlah tersebut, enam daripadanya mencatat kutipan yang amat memberangsangkan apabila memperoleh keuntungan lebih daripada RM5 juta.

Skop Production Sdn BHd dilihat antara pendominasi utama carta pecah panggung untuk tahun ini apabila dua filemnya, KL Gangster dan Khurafat telah menyumbangkan keuntungan hampir RM20 juta kepada syarikat hak milik Datuk Yusof Haslam itu.

Tidak kurang hebatnya ialah filem-filem terbitan Metrowealth (MIG), syarikat produksi milik David Teoh seperti Kongsi , Bini-Biniku Gangster serta Alamak Toyol turut menghuni carta kutipan tertinggi.

Tumpuan juga harus diberikan kepada pencapaian filem Ombak Rindu arahan Osman Ali yang kini dikatakan telah mencapai kutipan sehingga RM11 juta. Sementara itu, kita lihat dulu senarai 10 filem tempatan yang berjaya dengan kutipan tertinggi.

1) KL Gangster (RM11.74 juta)

Filem arahan Syamsul Yusof yang ketika ini memegang rekod sebagai filem melayu dengan kutipan tertinggi dalam sejarah. Filem lakonan Aaron Aziz dan Adi Putra berkisar permusuhan dunia samseng di Kuala Lumpur ini telah mencatat kutipan RM11.74 juta dan Syamsul Yusof sendiri telah diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik untuk arahannya dalam filem ini dalam FFM24. Kejayaan KL Gangster membuktikan filem aksi kini mula mendapat perhatian peminat filem tempatan yang masa satu ketika dahulu dipenuhi genre seram.

2) Ombak Rindu (RM11.2 juta)

Masih ditayangkan ketika ini namun pencapaiannya mencatat kutipan RM10 juta setelah dua minggu ditayangkan adalah satu pencapaian yang luar biasa hebatnya. Filem arahan Osman Ali yang diadaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama hasil nukilan Fauziah Ashari. Menceritakan tentang kehidupan seorang gadis bernama Izzah yang yatim piatu yang kemudiannya jatuh cinta dengan seorang lelaki kaya bernama Hariz. Juga merupakan genre baru yang menarik minat filem tempatan ke panggung setelah sebelum ini dikuasai genre seram.

3) Hantu Bonceng (RM8.53 juta)

Filem komedi seram nampaknya masih lagi mempunyai daya tarikan kuat untuk penonton ke pawagam. Hantu Bonceng diarahkan oleh Ahmad Idham, satu nama yang tidak dapat dipisahkan dengan kutipan box-office. Elemen komedi, aksi dan seram memang tidak dapat dipisahkan dengan pengarah ini dan sekali lagi dia menyuntik elemen tersebut ke dalam Hantu Bonceng. Zizan Raja Lawak dan Juliana Evans digandingkan di layar perak untuk filem yang berkisar mat rempit diganggu hantu wanita yang pernah kemalangan bersamanya. Pastinya Ahmad Idham sudah pastinya tersenyum dengan kutipan lebih RM8 juta untuk filem tersebut.

4) Kongsi (RM8.09 juta)

Shaheizy Sam, itulah nama utama yang menjadi penyebab untuk menarik penonton ke panggung ketika ini. Bintang paling popular itu dilihat sebagai elemen utama untuk Kongsi arahan Farid Kamil mencatat kutipan RM8.09 juta. Kongsi berkisarkan seorang pembunuh upahan dari Thailand yang memegang misi untuk membunuh setiap ketua kongsi gelap di Malaysia dan tidak dinafikan filem yang mempunyai wajah Shaheizy berpeluang cerah untuk berjaya mencatat kutipan box-office.



5) Khurafat (RM8.08 juta)

Khurafat merupakan filem kedua paling berjaya arahan Syamsul Yusof untuk tahun 2011 ini. Ditayangkan seawal bulan Januari dan mencatatkan kutipan lebih RM8 juta. Lantas penggiat filem dan pihak media melihat ia sebagai penanda aras kepada satu perkembangan positif. Dilakonkan oleh Syamsul sendiri bersama Liyana Jasmay, keunikan jalan ceritanya serta imej seram yang begitu efektif menjadi penarik utama penonton ke panggung.

6) Hikayat Merong Mahawangsa (RM6.5 juta)

Filem Terbaik untuk Festival Filem Malaysia ke 24. Filem epik sejarah yang berkisar tentang Merong Mahawangsa yang membentuk kerajaan utama Langkasuka ini diterbitkan KRU Studio dan diarahkan Yusry Abdul Halim. Walaupun berjaya mencatat kutipan RM6.5 juta, ramai yang mengganggap filem ini sepatutnya mencatat kutipan jauh lebih baik dan setimpal dengan bajetnya yang besar. Setiap elemen sama ada daripada segi kostum, prop dan efek kesan khas sememangnya mengkagumkan malah boleh dikatakan setanding dengan kualiti antarabangsa.

7) Nur Kasih The Movie (RM4.93 juta)

Asalnya sebuah drama bersiri TV, namun populariti yang tinggi menyebabkan Nur Kasih diadaptasi ke dalam bentuk filem pula. Hebatnya kisah cinta Adam dan Nur Amina yang menjadi ikutan buat peminat telah membolehkan Nur Kasih The Movie arahan Kabir Bhatia mencatat keuntungan RM4.93. Lebih penting, nama Tiz Zaqyah, Remy Ishak dan Fizz Fairuz kini telah menjadi nama besar dalam industri hiburan di atas kejayaan siri Nur Kasih tersebut.

8) Bini-Biniku Gangster (RM4.71 juta)

Gandingan Shaheizy Sam, Intan Ladyana dan Yana Samsudin dalam Adnan Sempit sememangnya dilihat ada chemistry dan mungkin atas dasar itulah mereka bertiga digandingkan sekali lagi dalam filem Bini-Biniku Gangster. Hasilnya, filem arahan Ismail Bob Hashim ini berjaya mengutip RM4.71 juta dan siapa sangka, filem yang menceritakan kisah seorang lelaki beristeri dua, namun tidak mengetahui yang kedua-dua isterinya itu adalah ketua gangster untuk kumpulan masing-masing adalah hasil garapan skrip oleh Yana Samsudin sendiri.

9) Karak (RM4.28 juta)

Merupakan percubaan pertama KRU Studio menerbitkan filem bergenre seram dan buat pertama kalinya, juara Akademi Fantasia 8, Shahir muncul di layar perak. Inisiatif Yusry Abdul Halim untuk menterjemahkan kisah urban legend di lebuhraya Karak seharusnya dipuji dan tidak lengkap sesebuah filem KRU itu jika tanpa efek kesan khas yang hebat. Karak berjaya mengutip RM4.28 juta dan genre seram dilihat masih merupakan pilihan utama untuk penonton ke panggung.

10) Alamak Toyol

Alamak Toyol diarahkan Ismail Bob Hashim dan dilakonkan oleh Along dan Angah dari Raja Lawak. Baru saja ditayangkan November lalu dan kutipannya dilihat memberangsangkan dengan keuntungan mencecah RM3.74 juta. Kisah dua orang perompak yang melatih toyol belaan mereka mencuri ini sarat dengan komedi ringan dan sepertimana juga genre seram, genre komedi masih merupakan elemen utama penonton di Malaysia.

No comments:

Post a Comment