“Everyone had a good time out there!”… demikianlah ulasan Jarome Lee, pengarah Oracle Accord yang juga penganjur konsert jelajah Search Fenomena 30 Tahun pada sidang media sejurus berakhirnya siri konsert tersebut di Johor Bahru pada 3 Disember lalu. Kata-kata itu cukup untuk menggambarkan kepuasan semua yang terlibat pada konsert tersebut, dari pihak penganjur sendiri, kru-kru, media-media, kumpulan Search sendiri dan pastinya 10,000 peminat Search yang hadir pada malam itu.
Jika pada siri konsert tersebut di Pulau Pinang pada 19 November lalu hujan lebat menjadi faktor ketidak-puasan pelbagai pihak kerana tertundanya konsert sehingga lewat malam ianya bermula, ditambah pula dengan terpaksanya Search mengurangkan lagu-lagu yang patut dipersembahkan, hujan lebat yang turun seawal 6 petang di Johor Bahru dikhuatiri bakal menjejaskan konsert sekali lagi.
Tinjauan kami di luar pintu masuk ke Stadium Larkin pada ketika itu, begitu ramainya peminat-peminat Search sedang beratur untuk masuk ke stadium. Mereka memberanikan diri meredah hujan yang kian mencurah beserta tiupan angin kencang. Di pentas persembahan, kumpulan Bittersweet pula baru sahaja selesai menjadi pemanas acara. Ini diikuti pula oleh acara-acara lain yang mana dua emcee jemputan – pelakon Jehan Miskin dan penyanyi Burn AF telah berinteraksi dengan peminat-peminat Search yang mula mengisi ruang di hadapan pentas. Ruang di atas padang itu sudah pun becak akibat hujan lebat, namun ianya bukan penghalang bagi peminat-peminat Search untuk bersedia menanti kemunculan lagenda Rock mereka. Menjelang jam 9.00 malam, diumumkan pula bahawasanya lain-lain band pemanas acara pada malam tersebut tidak akan beraksi dan Search akan mengambil alih pentas tepat pada waktu mengikut aturcara. Ini disambut dengan sorakkan gemuruh para peminat. Hujan yang tadinya lebat, sudah pun mula reda pada ketika itu.
Tepat jam 9.00 malam, kedengaran intro syahdu dari keyboardist – Firdaus, sessionist yang telah lama menabur khidmat bersama Search. Yazid pula menyusul dengan drums solo singkat. Kegarangan gitar-gitar distortion petikkan Din dan Kid serta dengungan bass Nasir pula memulakan “Panggung Khayalan”. 10,000 peminat, antaranya ada yang lecun dek hujan, bersorak kuat, mengiktiraf fenomena yang bakal mereka saksikan buat dua-tiga jam yang berikut. “Gothik Malam Edan” pula menyusul. Dua lagu pembuka konsert yang sesuai, rancak dan efektif dalam membakar semangat penonton. Search memperlahankan pula tempo pada lagu ke-3 dengan “Fenomena”. Amy mengajak peminat-peminat menyanyi bersama setiap kali tiba ke bait lirik “...Fenomena di jiwa, Fenomena kau cipta, Fenomena… indah amat mengasyikkan”. Pada permulaan lagu ke-4 barulah Amy berbicara dengan para peminat beliau dan Search. Menceritakan sedikit mengenai 30 tahun penglibatan Search dalam industri muzik dan begitu sinonimnya Johor Bahru dengan nama mereka. Betapa Johor Bahru itu adalah kampung mereka yang kuatnya nilai-nilai nostalgia dan sentimental buat mereka. Sebagai anak-anak jati Johor Bahru, di situlah penglibatan muzik Search bermula. Persembahan diteruskan dengan “Musnah” dan “Metropolitan”.
Amy Search tetap dengan trademark ungkapan “Peeweeet” beliau. Sebelum memulakan lagu “Melayar Bahtera”, beliau sempat menceritakan secara ringkas bagaimana ungkapan tersebut tercipta berzaman sudah di kampung beliau sendiri, iaitu di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. Firdaus kemudiannya memulakan intro keyboard berserta sampling salakkan serigala. Peminat-peminat di bawah pentas sudah pun dapat mengagak lagu seterusnya, iaitu “Serigala Segalanya” – agak jarang Search memainkan lagu ini secara live. “Balada Pemuzik Jalanan” lagu yang Amy sifatkan sebagai ‘Negaraku versi Rock’ mengembalikan nostalgia album pertama mereka pada 1985. Kemudiannya, lagu yang amat ditunggu-tunggu majoriti mereka yang hadir, lagu yang pada ucapan Amy sendiri beliau sedari, pernah popular serantauan dan mempunyai pelbagai versi dari segi bahasa – “Isabella”. Sing-a-long peminat-peminat pada baris-baris awal lagu tersebut membuatkan Amy hanya mengacukan mikrofon beliau ke arah mereka. Sememangnya lirik “Isabella” bagaikan sudah tersedia melekat di bibir para peminat.
“Melastik Ke Bintang” dan “Cakap Memang Murah” menamatkan set pertama konsert tersebut. Ketika Search masuk berehat sementara, untuk 10 minit berikutnya peminat-peminat Search di Stadium Larkin disajikan dengan tayangan video mengenai pujian-pujian peminat dan rakan-rakan artis mengenai Search sepanjang 30 tahun penglibatan mereka di arena Rock tempatan. Pancaran video tersebut dilakukan melalui backdrop-projector – antara perkara menarik pada konsert malam itu. Backdrop projector tersebut turut memainkan peranan penting menghiasi pentas dengan tayangan-tayangan menarik sepanjang konsert, footage gambar-gambar yang selari dengan konsep setiap lagu dan lirikal yang dipersembahkan.
Set kedua dimulakan dengan 5 lagu balada hit sepanjang 30 tahun Search. Siapa yang tidak menghafal lirik-lirik “Rozana”, “Bisa”, Meniti Titian Usang”, “Kejora” dan “Gadisku”? Kesemua lagu dinyanyikan bersama oleh para peminat. Diantara lagu-lagu tersebut, sempat juga Amy menyanyikan “Setelah Hujan” tanpa bantuan muzik, menghargai mereka yang sanggup datang ke konsert dan membuktikan bahawa hujan yang turun pada petang tadi bukannya halangan bagi mereka sama-sama memeriahkan sambutan 30 tahun Search itu. 3 lagu keras pula menyusul selepas itu – “Isi Atau Kulit”, “Langit dan Bumi” dan “Menara Kesesatan” sebelum gandingan gitaris adik-beradik termashyur di Malaysia, Kid dan Din mempamerkan kehebatan masing-masing melalui solo-solo gitar berduet selama hampir 20 minit.
“Mentari Merah Di Ufuk Timur” memulakan set ketiga konsert sebelum “Pelesit Kota” dan “Pawana” kembali merancakkan acara. Dua lagu yang begitu berkesan bagi persembahan live yang menjadi kemestian bagi setiap konsert Search. Setelah hampir 3 jam dan 22 buah lagu yang disampaikan, Amy yang pada usia melebihi 50 tahun tetapi masih kelihatan ligat dan masih mengekalkan mutu suara beliau, memberikan penghargaan tidak ternilai buat semua yang hadir pada malam tersebut dan mengumumkan lagu penutup pada malam itu. “Fantasia Bulan Madu”, lagu balada yang telah menaikkan nama Search sekitar 1986 dahulu sememangnya satu finale yang sesuai. Berakhir sudah apa yang kita lihat bukan sahaja kehebatan band yang bertaraf lagenda, malah pengalaman 30 tahun itu sendiri. Sesuai dengan nama konsert tersebut, ianya sememangnya satu Fenomena!
Pada sidang media selepas konsert, Amy mewakili kumpulannya memberitahu bahawa beliau amat mengagumi sistem bunyi yang diberikan... “perfect!” kata beliau. Beliau turut membandingkan konsert di Pulau Pinang pada dua minggu sebelumnya. Jelas Amy, konsert pada malam itu di Johor Bahru tidak terganggu dengan ribut angin kencang, masalah teknikal dan setlist yang terpaksa disingkatkan. Beliau turut kagum dengan jumlah peminat-peminat yang hadir yang melebihi mereka yang hadir di Pulau Pinang sambil menceritakan mengenai zaman lampau di mana hujan menjadi antara faktor utama yang merunsingkan Search untuk membuat persembahan. Kerunsingan sedemikian tidak lagi wujud selepas ‘zaman Isabella’ kerana beliau tahu crowd Search itu sudah sedia ada walau dalam apa jua kondisi cuaca. Ketika diajukan pula soalan mengenai pemilihan lagu-lagu bagi siri konsert di Johor Bahru yang baru berakhir itu, Nasir yang menjawabnya memberitahu ianya adalah diatas permintaan peminat-peminat di Johor Bahru sendiri dan ianya adalah hasil homework mereka membaca permintaan peminat melalui facebook.
17 Disember nanti, siri konsert Search Fenomena 30 Tahun beralih ke Kuala Lumpur pula. Apakah ada keistimewaan lain yang bakal kita saksikan? Yang pasti, sifu mereka M.Nasir bakal tampil pada konsert itu nanti. Ini dinyatakan sendiri oleh Search pada sidang media tersebut. Buat masa ini, konsert Search Fenomena 30 Tahun di Johor Bahru masih segar pada ingatan semua yang hadir, memori indah sebuah konsert Rock yang unggul yang tidak akan mudah luput di ingatan. Search tetap berada di mercu arena Rock tempatan! Search adalah satu fenomena!
No comments:
Post a Comment