KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan duo Osbon, Mr. Os akan terus menjadi pemandu teksi biarpun muncul juara Maharaja Lawak Mega (MLM) dengan memenangi hadiah wang tunai RM350,000 pada final pertandingan itu di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.
Menurut pelawak dan pelakon yang mula dikenali menerusi sitkom Santan Berlada pada awal tahun 1980-an itu, dia akan menggunakan wang kemenangan yang akan dikongsinya bersama pasangannya, Abon selepas menjuarai pertandingan anjuran Astro Warna tersebut.
“Macam biasa saya akan terus membawa teksi saya. Cuma dengan duit kemenangan itu, saya bercadang mahu menambahbaik teksi saya itu supaya ia lebih solid demi memberi keselesaan kepada para penumpang saya kelak. Pemandu teksi adalah kerjaya saya sekarang ini.
“Malah, saya akan terus menggunakan teksi saya itu kerana keadaannya masih elok. Apatah lagi, permit teksi saya itu pula hanya akan mati pada tahun 2015. Selain itu, saya akan menggunakan duit kemenangan ini bagi menyara anak-anak saya yang ramai dan masih kecil,” katanya.
Os berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya final MLM yang menyaksikan kumpulan Boboi muncul naib juara dengan mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM250,000, tempat ketiga Saehu (RM150,000) dan pemenang keempat Syok (RM50,000).
Pada pertandingan yang menggunakan sistem pemarkahan 70 peratus daripada para pengkritik dan 30 peratus lagi berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada para penonton itu, Osbon mendapat 31.1 peratus markah, Boboi (29.3), Saehu (22) dan Syok (17.5).
Sementara itu, Abon pula berkata dia dan Mr. Os tidak berasa kecil hati biarpun sepanjang menyertai MLM mereka pernah dikritik teruk oleh pengkritik pertandingan itu terutamanya Datuk Chef Wan tetapi berkat kesabarannya ia membuahkan hasil.
“Dalam tiga minggu pertama menyertai MLM kami memang dikutuk teruk menyebabkan kami terpinga-pinga. Saya mulanya seperti tidak boleh terima bagaimana seorang tukang masak seperti Chef Wan mengkritik lawak kami sedangkan dia bukannya pelawak.
“Begitu juga misalnya dengan Zainal Abidin Hassan seorang pemain bola sepak. Apa yang dia (Zainal) tahu tentang lawak jenaka? Tetapi kami terima kritikan mereka dengan hati terbuka dan menyahut cabaran serta kritikan itu bagi menunjukkan bakat sebenar kami,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment