Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Sunday, December 11, 2011

Sanggup tunggu Search

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

APA lagi nak dikata, mereka memang ada ramai pengikut setia. Tidak hairanlah lebih 4,000 peminat sanggup menunggu hujan teduh selama hampir dua jam untuk melihat mereka beraksi.

Senario ini dilihat pada konsert Fenomena 30 Tahun Search di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, malam minggu lalu.

Konsert dijadualkan bermula jam 9 malam namun Search hanya muncul dengan lagu Panggung Khayalan, jam 10.45 malam.

Konsert ini boleh dikatakan antara konsert terhebat pernah dipamerkan terutamanya ‘mood’ setiap anggota yang berpakaian rock zaman 1980-an.

Amy tampil dengan rambut ala Mohawk dengan mengenakan tali pinggang ‘buckle’ Triumph yang dimilikinya selama lebih 20 tahun. Kid selaku gitaris menggayakan imej Skid Row sementara abangnya, Din hadir dengan imej kemas berambut pendek.

Nasir pula dengan imej berjanggut mengenakan ‘scottish kilt’ dan berjaket hitam.

Meskipun mengalami kekejangan otot pada pertengahan persembahan, pemain dram, Yazit tetap kental bertahan memberi persembahan bertenaga membawakan 20 lagu penuh kumpulan itu daripada album seperti Cinta Buatan Malaysia, Mentari Merah di Ufuk Timur, Langit Dan Bumi serta Rock ‘n’ Roll Pie.

Bukan itu saja, Kid dan Din turut bertarung gitar solo memainkan lagu blues selama beberapa minit, sesuatu jarang dilakukan mereka.

Antara lagu kedengaran adalah Gothik Malam Edan, Bisa, Pelesit Kota, Rozana, Musnah, Isi Dan Kulit, Melayar Bahtera, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Balada Pemuzik Jalanan, Isabella serta lagu penutup, Pawana yang disampaikan dengan ‘riff’ sedikit ‘heavy’.

Sewaktu ditemui di belakang pentas, Amy sempat menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penonton.

“Memang risau sekiranya apa-apa berlaku sewaktu hujan kerana sekeliling pentas dilengkapi wayar lampu, kamera video dan ‘amplifier’ berkuasa tinggi.

“Apapun, kami bersyukur konsert dapat diteruskan dan kami terharu kerana peminat tetap sabar menunggu dalam keadaan sejuk. Mereka nampaknya tetap ada di sini bersama Search. Ini adalah malam gemilang Search sebagai penanda aras selama tiga dekad berada dalam industri. Kami mempelbagaikan lagu ‘full song’ dipersembahkan pada dua konsert pada 3 Disember di Larkin Johor Bahru pada 3 Disember dan menjemput Datuk M Nasir sebagai jemputan khas bersama kami di Padang Astaka Petaling Jaya, 17 Disember ini,” katanya.

Yazit yang tetap bersemangat tinggi sekalipun menjalani proses dialisis dan tidak membawa ubat penahan sakit sewaktu konsert itu.

“Kami gembira kerana peminat terhibur. Lagipun, ini sudah cukup kerana saya puas dapat memberi sokongan kepada Kid, Din, Amy dan Nasir. Saya dapat merasai kekejangan otot pada pertengahan konsert dan kebetulan ubat sembur kejang tertinggal dan nasib baik ada penyembur pemanas kaki yang memberikan sedikit kelegaan. Alhamdulillah, saya mahu meneruskan konsert ini selagi diizinkan Tuhan dan bertemu peminat di JB dan KL,” katanya.

Beberapa kumpulan seperti Koffin Kanser, Pesawat, Projek Pistol dan Sofea turut dijemput sebagai ‘opening act’ pada sebelah petang dan awal malam.

Konsert 30 Tahun Fenomena Search di tiga lokasi terbabit juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan pemenang bertuah membawa pulang sebuah kereta.

No comments:

Post a Comment