Followers

Search This Blog

Loading...

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Saturday, December 31, 2011

Gemersik Kalbu Aqasha & Ayu Raudhah

Nama Aqasha dan Ayu Raudhah bukan lagi asing dalam industri seni. Peluang digandingkan menerusi drama Gemersik Kalbu yang diadaptasi dari novel bertajuk sama, memberi peluang untuk Aqasha dan Ayu untuk bekerjasama buat kali kedua.

Biarpun kedua-duanya sudah mendirikan rumah tangga, namun status sebagai suami dan isteri orang diletak ke tepi demi memberi komitmen penuh terhadap drama ini.

Menurut Aqasha, dia dan Ayu mengekalkan hubungan profesional sepanjang penggambaran agar babak yang melibatkan mereka berdua dapat diselesaikan mengikut kehendak pengarah.

“Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Ayu kerana dia seorang yang berbakat dan komited dengan kerjanya. Alhamdulillah, kami mudah mendapatkan keserasian dan kami banyak berbincang bagaimana untuk menjayakan sesuatu babak yang melibatkan kami berdua.

“Lagipun bila dalam set penggambaran, saya dan Ayu tidak membawakan karakter kami, tetapi kami membawakan karakter Sufian dan Raihana. Jadi apabila perlu menjayakan babak romantis, yang romantis itu bukan Ayu dan Aqasha tetapi Suffian dan Raihana,” katanya selepas pelancaran drama Gemersik Kalbu di Sri Pentas, baru-baru ini.

Ayu pula berkata, sebagai seorang isteri, ada juga beberapa babak romantis yang sukar untuk dilakukan. Namun setelah mendapat bimbingan dan sokongan dari pengarah, Heykal Hanfiah dan Aqasha sendiri, dia akhirnya dapat menjayakan watak itu.

“Memandangkan kami sama-sama dah berkahwin, jadi bila perlu melakukan babak romantis, saya agak segan juga. Walaupun ini kali kedua kami bekerjasama, saya tetap rasa kekok kerana ketika kali pertama dulu tidak banyak babak melibatkan saya dan Aqasha.

“Tapi mujur Raihana tidak menyukai Sufian, jadi tidak banyak babak romantis sepanjang penggambaran ini,” katanya.

Ayu akui Zaquan cemburu

Tatkala ditanya mengenai reaksi suaminya, Zaquan Adha apabila melihat lakonannya bersama lelaki lain, Ayu mengakui Zaquan kadangkala cemburu, namun tidak sampai menghalangnya dari terus bergelar pelakon.

“Apabila ada babak dia kurang suka, dia akan terus tutup televisyen. Yalah, suami mana tidak cemburu apabila melihat isterinya bersama lelaki lain padahal ianya sekadar lakonan.

“Namun dia bukanlah cemburu sehingga tidak membenarkan saya berlakon. Biasalah dia cuma cemburu manja sahaja. Saya pun tahu tahap atau batas sebagai seorang isteri bila berlakon bersama lelaki lain,“ katanya.

Selepas disatukan pada 20 Januari lalu, Ayu Raudah akui hidupnya kini lebih bermakna dan terlalu bahagia dapat bersama orang paling dicintainya.
“Sukar untuk saya ungkapkan, begitu nikmat dan bahagianya menjadi seorang isteri. Lebih-lebih lagi bersama orang yang kita sayangi. Saya rasa seperti orang yang baru bercinta.

“Setiap hari saya rasa teruja apabila bangun melihat wajah orang yang kita sayang bersama. Kami masing-masing kini lebih suka luahkan perasaan cinta berbanding waktu sebelum kahwin,” luahnya yang akui bahagia.

Bulan madu dan cahaya mata

Walaupun usia perkahwinannya hampir menginjak ke setahun, tetapi Ayu mengakui dia dan suami, masih belum berkesempatan untuk berbulan madu.
Jelas Ayu, bukan masing-masing tidak cuba mencari masa, tetapi tuntutan tugas perlu diutamakan.

“Memang sampai sekarang Ayu dan suami tidak sempat berbulan madu. Bukan tidak mahu, tetapi masa tidak mengizinkan. Sebaik sahaja majlis persandingan di kedua-dua belah pihak tempoh hari, Ayu dan Zaquan sudah terikat dengan komitmen kerja. Jadi, kami terpaksa lupakan tentang bulan madu buat seketika.

“Bagaimanapun, Ramadan baru-baru ini Ayu dan suami sempat menunaikan Umrah bersama. Rasanya kunjungan ke Tanah Suci itu lebih bermakna. Tak mengapalah tak dapat bulan madu pun, Ayu anggap hari-hari yang kami lalui bersama ketika ini adalah bulan madu, “ ujar Ayu.

Menjawab persoalan tentang tahap kesihatannya ketika ini, Ayu memberitahu selepas keguguran Oktober lalu, dia tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan lain. Namun mengakui dia tidak mendapat rehat yang cukup kerana jadual penggambaran yang terlalu ketat.

“Selepas keguguran hari itu, Ayu tidak punya masalah kesihatan lain, cuma tidak mendapat rehat yang cukup sebab sibuk sangat. Buat masa ini doktor masih tidak benarkan Ayu hamil lagi.

“Doktor nasihatkan kena tunggu selepas tiga bulan. Memang Ayu dan Zaquan tidak merancang untuk dapatkan anak, tapi buat masa ini Ayu perlu dengar nasihat doktor. Selepas tempoh tiga bulan ini berakhir, tak kisahlah kalau hamil pun,” katanya.

Aqasha seronok bergelar bapa

Biarpun baru lebih 3 bulan bergelar ayah, namun Aqasha, 29, akui sudah bijak menguruskan puteranya, Alehandra Ahmad Firdee Aqasha tanpa bantuan sesiapa.

Malah Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Aqasha Rosli berkata, rutin hariannya kini juga sudah berubah sejak menerima kelahiran cahaya mata sulungnya pada 6 September lalu.

“Walaupun rutin harian saya tidak sama seperti dahulu, saya gembira dengan kehidupan sekarang. Seronok jadi ayah kerana saya rasa macam belajar mengenali diri sendiri. Saya sentiasa perhatikan sama ada anak saya mewarisi perangai saya atau tidak.

“Saya seronok melakukan kerja-kerja menjaga bayi. Tiada salahnya bantu isteri kerana ia memberi peluang kepada saya untuk dekat dengan anak. Sebab itu, saya tidak ambil orang gaji untuk jaga anak. Saya dan isteri hendak tunggu sehingga dia berumur enam bulan. Kalau dua-dua sibuk, saya minta tolong keluarga saya untuk jagakan,“ katanya.

Aqasha telah mendirikan rumah tangga bersama isteri tersayang, Noor Baizura Mohd Sabri, 27, pada 10 Oktober tahun lalu.

Kerjaya, keluarga seiring

Menyentuh tentang karier seninya, Aqasha berkata, selain berlakon dalam drama Gemersik Kalbu, dia juga turut menyumbangkan suara dan lagunya dalam drama berkenaan.

“Heykal tanya pada saya, jika saya ada lagu yang boleh saya nyanyikan untuk drama berkenaan dan saya cadangkan lagu Obsesiku yang diambil dari album saya, QashaNova,“ katanya.

Tambahnya, sejak bergelar bapa dan suami, dia cuba memberi masa yang terbaik buat keluarga dan kerjayanya agar ia bergerak seiring dan seimbang.

“Dari segi tawaran, Alhamdulillah. Selepas ini saya ada beberapa projek lagi bersama Global Station yang juga penerbit drama ini. Saya memang rasa beruntung kerana Global Station memberi kepercayaan kepada saya untuk menjayakan drama terbitan mereka,“ ka-tanya.

Mengulas mengenai drama lakonannya dalam Gemersik Kalbu, Aqasha berkata, dia sebolehnya tidak mahu membaca novel kerana mahu membawa watak Sufian mengikut acuannya sendiri.

“Saya bimbang kalau saya baca novel, saya sudah ada bayangan saya sendiri, bagaimana watak Sufian ini pada fahaman saya. Nanti jika pengarah minta lain sikit, saya akan jadi keliru.

“Jadi saya elakkan diri untuk membaca novel sehingga selesai penggambaran ini nanti. Namun apa yang boleh saya katakan, jalan cerita Gemersik Kalbu sangat menarik dan tidak rugi untuk menonton drama ini,“ katanya.

Drama arahan Heykal Hanafiah ini akan disiarkan di slot Akasia bermula 2 Januari hadapan dari jam 7 hingga 8 malam, setiap Isnin hingga Khamis.

Gemersik Kalbu mengisahkan kisah suka duka Raihana, seorang wanita yang tabah mengharungi dugaan hidup sejak kecil selepas ditinggalkan dalam jagaan neneknya. Raihana bagaikan terkontang-kanting mencari kasih sayang dalam dunianya sendiri apabila neneknya meninggal dunia.

Pertemuan dengan Wan Ariffin, yang mempunyai kerjaya sama dengannya membenihkan bibit-bibit percintaan. Namun, setelah ikatan terjalin, Wan Ariffin pula pergi menyahut panggilan Ilahi. Raihana bagai terpukul, keliru dan terperangkap dalam kesengsaraan sendiri.

Kehadiran Sufian tidak memberi makna dalam hidup Raihana kerana baginya cinta bukan satu paksaan mahupun lahir atas rasa simpati. Sufian yang begitu bersungguh memenangi hati Raihana telah berjaya menjerat si gadis itu dalam satu ikatan perkahwinan. Namun, Raihana bersikap dingin dengan membiarkan perkahwinan itu sepi tanpa cinta kerana Wan Ariffin masih segar di hatinya.

Mampukah Raihana menerima keikhlasan dan kasih sayang Sufian, suaminya yang sah dengan sepenuh hati?

Sinar

No comments:

Post a Comment