Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Tuesday, December 20, 2011

Hans Isaac Realisasikan Impian Bikin Konsert Awie & Ella, Raja & Ratu Rock!

Setelah mengorak langkah dengan mewarnai pentas Istana Budaya dengan ‘Cuci The musical’ (musim 1 dan 2) serta ‘Lat Kampung Boy Sebuah Musical’, Tall Order Productions (TOP), milik pengarah dan pelakon terkenal, Hans Isaac sekali lagi menghangatkan pentas berprestij negara dengan sebuah konsert yang disifat ‘pemanas’ panggung Istana Budaya menerusi Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock.

Menggabungkan dua figura berprolifik besar dalam persada hiburan tanah air, Awie dan Ella, terhasilnya konsert ini adalah bersandarkan impian Hans sendiri yang sudah lama menyimpan impian untuk mengadakan sebuah konsert mega menggabungkan dua artis pujaannya ini.

“Sejujurnya, saya memang sudah lama memasang impian untuk mengadakan konsert seperti ini beberapa tahun yang lalu, Namun hajat saya terhalang memandangkan jadual ketat Tall order pada masa itu yang lebih menumpukan penghasilan teater dan muzikal,”

“Konsert ini sebenarnya adalah untuk puaskan hati saya sendiri kerana saya adalah peminat setia mereka (Awie dan Ella). Saya layan lagu mereka sejak zaman sekolah lagi. Saya masih ingat semasa saya dan kawan-kawan motor kapcai duduk lepak di Ampang Jaya dulu, pantang jumpa radio mesti dengar lagu mereka. Itu belum masuk lagi bab karaoke, tak sah karaoke kalau tak menyanyi baik lagu Awie atau Ella,” jelas Hans ketika ditemui pada pelancaran Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock petang semalam.

Konsert yang berlangsung selama enam hari bermula pada 12 hingga 15 Januari 2012, bakal menghimpunkan dendangan lagu-lagu hits Awie yang dipetik dari kelima-lima album solonya manakala Ella, yang mempunyai lebih dari 20 album solo akan mempersembahkan lagu-lagu pilihannya sendiri khusus buat peminat tersayang.

Dari kiri: Pengarah Urusan TOP, Hans Isaac, Timbalan Ketua Pengarah Istana Budaya, Nik Kamarulzaman Husin, Awie, Ella dan Edrie Hashim bersama replika pentas Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu rock yang bertemakan ‘Metal Forest Evergreen’ rekaan Raja Malek dan Jia-Wei Loo.

Edrie Hashim yang sebelum ini pernah menjadi penerbit album untuk Awie dan Ella menggalas tugas sebagai pengarah muzik untuk konsert ini manakala rekaan pentas pula dipertanggungjawabkan kepada Raja Malek yang sebelum ini pernah menghasilkan rekaan pentas untuk ‘Muzikal Puteri Gunung Ledang’ dan ‘P.Ramlee the Musical’ bergandingan dengan pendatang baru dalam industri rekaan dan pembinaan set, Jia -Wei loo.

Awie ketika ditemui pada majlis yang sama pula mengakui, gelaran ‘Raja Rock’ yang diberikan terhadapnya seakan satu beban dan tanggung jawab berat harus digalasnya.

“Say tak berapa senang dengan gelaran tersebut, namun saya menganggapnya sebagai satu penghormatan besar buat diri saya sekaligus menjadi peniup semangat agar saya dapat memberi yang terbaik kepada karier saya dari semasa ke semasa,”

“Apa yang saya boleh katakan di sini, saya dan Ella berjanji akan memberi persembahan yang akan meninggalkan impak yang sangat kuat kepada penonton menerusi seleksi lagu-lagu kami. Sudah pasti lagu slow yang bertemakan cinta akan dinyanyikan oleh kami dengan penuh perasaan cinta, ya, kami akan ‘bercinta’ di atas pentas. Biar penonton yang menyaksikannya seolah-olah dibuai perasaan cinta sehingga teringin untuk datang melihat konsert tersebut sekali lagi. Saya berharap kami dapat merealisasikan segala yang dirancang,” ujar Awie.

Menyaksikan dua figura Rock tanah air ini berduet di atas pentas lewat program hiburan kecil memang perkara biasa, tapi menyaksikan Awie dan Ella ‘bersanding’ atas pentas, diulangi ‘bersanding’ atas pentas mega sambil dihiburkan oleh lagu-lagu popular mereka selama hampir dua jam adalah sesuatu yang ‘jarang-jarang’ berlaku.

Justeru, kepada sekalian peminat tegar Rock and Roll khususnya peminat Awie dan Ella, apa tunggu lagi? Jangan lupa temu janji anda menyaksikan Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock Januari ini.

Tiket untuk konsert ini dijual pada harga RM40, RM80, RM140, RM210, RM300, RM400 dan RM450 yang boleh didapati menerusi pembelian secara online di www.ticket2u.biz atau bolehlah menghubungi 03-41478600.

No comments:

Post a Comment