MENINGGALKAN salah satu band paling popular di dunia, Guns N' Roses secara rasmi pada Oktober 1996, Slash yang berpaksi secara solo dengan bertemankan gitarnya maju mengorak langkah perjalanan kariernya sendiri.
Tidak dinafikan aura Guns N' Roses telah memperkenalkan pemain gitar itu kepada dunia. Namun, Slash yang pertama kali menjejak kaki ke Malaysia Rabu lalu tidak mahu dirinya dikaitkan dengan band tersebut.
Malah, media yang menghadiri sidang media sebelum berlangsung konsertnya pada Khamis lalu telah diingat supaya tidak bertanya sebarang soalan mengenai Guns N' Roses. Ada sebabnya mengapa dia begitu 'sensitif'.
Bukannya sombong atau lupa daratan, Slash memberitahu: “Tidak, saya tidak merindui Guns N' Roses. Banyak masalah yang timbul semasa saya bersama kumpulan ini. Babak itu menjadi sebahagian daripada memori hitam hidup saya.
“Jadi kalau boleh saya tidak mahu mengingati sebarang memori mengenai kumpulan itu. Semua benda yang saya ingat mengenai Guns N' Roses adalah pahit. Begitu mendalam impaknya kepada saya.”
Bersama kumpulan Guns N' Roses, lagu Sweet Child o' Mine boleh dikatakan sebagai penanda kejayaan arus perdana mereka. Popular dan diingat sehingga kini, Slash atau nama sebenarnya Saul Hudson bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza terhadap karya itu.
“Bagi sebuah kumpulan hard rock seperti Guns N' Roses, lagu Sweet Child o' Mine sebenarnya seperti sebuah lagu gay. Namun, menariknya ia salah sebuah lagu yang popular sehingga kini. Walaupun tidak berapa menyukai lagu itu, ia sudah sebati dalam kepala saya kerana itu merupakan lagu paling kerap dimainkan dalam mana-mana persembahan,” jelas Slash.
Menubuhkan kumpulan Velvet Revolver selepas pengunduran itu, Slash terbaru telah menghasilkan album solo sulungnya yang menggunakan judul namanya sendiri. Pemuzik berusia 45 tahun itu bagaimanapun tidak suka menyanyi. “Mengapa saya tidak mahu menyanyi sendiri? Saya tidak suka menonjolkan emosi diri kerana semasa menyanyi anda kena meluahkan emosi.”
Mengakui dirinya juga tidak berapa gemar bercakap, Slash menyukai Malaysia kerana hidupan liar. Terkenal sebagai pembela ular, dia juga seorang pengumpul gitar. Memiliki lebih 100 instrumen muzik itu, pada mulanya disuruh untuk mempelajari piano.
“Ibu saya sebenarnya menyuruh saya untuk belajar piano. Namun, selepas bermain gitar, saya tahu saya akan menjadi pemain gitar. Lagu pertama yang saya main adalah Tangerine oleh Led Zeppellin III,” ujar pemuzik kelahiran London itu.
Sosok itu sering tampil dengan topi serta cermin mata hitam. Itu identitinya. Pernah berkolaborasi dengan barisan penyanyi berkaliber dunia seperti Michael Jackson, Ray Charles dan Stevie Wonder, Slash berharap untuk bekerja dengan pendatang baru pada masa akan datang.
“Saya mengagumi ramai penyanyi tetapi selalunya kolaborasi yang diadakan tidak dirancang. Semuanya merupakan peluang yang datang kepada saya. Namun, jika diberi peluang, saya mahu bekerjasama dengan bakat baru. Buat masa ini, saya mahu berganding dengan kumpulan The Roots,” tambahnya.
Selesa bergerak solo kerana tidak mempunyai batasan kreativiti, Slash sebenarnya seorang yang berorientasi kekeluargaan. Walaupun sibuk dengan aktiviti seni, dia bertuah kerana mempunyai isteri, Perla Ferrar yang membantu menjaga keluarganya.
“Nasib baik isteri saya pandai menguruskan keluarga. Dia mendidik anak saya, London Emilio dan Cash Anthony seperti kanak-kanak biasa. Saya mahu anak-anak saya membesar seperti kanak-kanak normal tanpa pengaruh dunia glamor,” katanya yang tidak menghabiskan zaman persekolahan kerana mahu menjadi pemuzik.
Bakal meneruskan konsert jelajah ke Australia dan New Zealand selepas Malaysia, Slash yang diiktiraf antara 10 Pemain Gitar Terhebat Sepanjang Zaman oleh majalah Time bagaimanapun tidak pernah mengharapkan sebarang penghargaan.
Baginya, pengiktirafan itu akan diberikan jika seseorang itu berhak mendapatkannya. Terbukti Slash berhak dengan setiap akreditasi yang diberikan. Berjaya menarik lebih 8,000 peminat datang ke Surf Beach, Sunway Lagoon untuk konsert sulungnya, jumlah itu bukan senang dicapai.
Memulakan konsert sekitar 8.10 malam, Slash yang bergabung dengan penyanyi Myles Kennedy tidak menggunakan masa lama untuk menghangatkan suasana. Menghiburkan peminat dengan seleksi lagu popular, Myles dengan bijaknya tidak mengaburi 'bintang' konsert itu, Slash.
Menyampaikan seleksi lagu seperti Ghost, Dirty Little Thing, Civil War, Rise Today, By The Sword, Paradise City, Nothing To Say, Starlite, Back From Cali, Night Train, Rocket Queen, Mean Bond dan Beggers & Hangers On, lagu popular, Sweet Child o' Mine tidak ketinggalan dalam senarainya.
Tidak banyak berbicara, konsert berlangsung lancar sehingga pukul 9.45 malam. Diakui ia agak singkat tetapi menyaksikan energi yang dipaparkan, ia sudah cukup memadai walaupun ramai yang belum berpuas.
Difahamkan Slash terpaksa mengejar kapal terbang pada hari yang sama sehingga menyebabkan konsert itu berakhir lebih awal. Namun, ini bukan bermaksud konsertnya dijalankan ala kadar. Kesungguhan Slash bersama pemuziknya dapat dirasai setiap insan yang menjadi saksi kehebatan figura bernama Slash itu.
Followers
Search This Blog
JOM LAYAN " OMBAK RINDU".
Wednesday, November 10, 2010
Slash mahu lupakan Gun N' Roses
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment