Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Wednesday, November 10, 2010

Memburu cinta

JAUH dia merentasi lautan, berhijrah mengejar impian. Meskipun terpaksa meninggalkan keluarga, teman dan kampung halaman, tidak sekali terlintas rasa kesal. Sebaliknya gadis kelahiran Bandung, Indonesia ini memandang jauh ke depan. Penghijrahan ini bagai simbolik sebuah pengorbanan yang perlu ditempuh sebelum selesa menggenggam erti kejayaan.

Menurut anggota The Fabulous Cats (TFC) yang sempurna bergaya dalam busana mewah lengkap dengan karakter lincah, elegan dan seksi pada sesi fotografi petang itu, perjuangannya tidak akan sesekali terhenti. Alang-alang menyeluk pekasam katanya, biar tercapai apa yang lama diangankan.

"Sejak dulu memang nyanyian dan berjalan di atas permaidani merah menjadi impian. Justeru, peluang terbuka luas hari ini meskipun saya pernah kecundang di pentas Indonesia Idol. Saya tidak mahu menoleh ke belakang, sebaliknya terus memperkuatkan lagi benteng diri menjadi artis yang baik dan berkualiti di Malaysia.

"Siapa sangka akhirnya saya di sini bersama TFC dan alhamdulillah peminat dapat menerima saya seadanya. Selagi pengikut muzik dapat menerima perjuangan kami dan menyanyi bersama setiap kali persembahan, itu sudah memadai dan membalas segala penat lelah selama ini. Ibaratnya ini adalah ganjaran terindah buat diri saya.

"Awalnya dulu memang rasa janggal dan takut apabila berjauhan. Bayangkan, keluarga turut menemani saya ke Malaysia ketika itu bagi memastikan keselamatan saya.

"Namun sekarang Kuala Lumpur menjadi rumah kedua saya dan tidak pernah pula rasa gusar itu kembali mencengkam diri," katanya yang menggemari masakan Malaysia.

Setahun perantauan di bumi asing, menyelami adat dan budaya setempat jelas mengetuk jendela cinta gadis jelita berusia 21 tahun ini.

"Kelakar pun ada kerana baru saja saya di sini, sudah ada yang berminat untuk berkawan. Namun itulah hakikatnya, mereka hanya ingin berkawan dengan saya dan tiada niat lebih. Saya jenis peramah dan suka berkawan dengan sesiapa saja yang jujur. Maklumlah saya masih baru di sini, jadi tidak salah jika kita ada ramai kenalan.

"Memang ada teman artis yang mendekati dan mempelawa keluar makan atau tengok wayang bersama, namun itu hanya atas dasar persahabatan.

"Saya mengenali artis yang lain apabila terserempak di majlis anugerah, lokasi penggambaran atau ketika di belakang pentas persembahan. Jadi saya tidak nampak sebarang isu jika menerima undangan mereka dan mengenali sesiapa saja sebagai teman satu industri.

"Anggota TFC, terutama Cat, banyak menjaga saya di sini dan saya tinggal bersama Zizie. Mereka seperti abang dan keluarga kepada saya yang bukan saja menemani saya, malah jika saya ada masalah atau apa saja kesulitan, teman TFC adalah stesen rujukan saya. Lagipun saya bukan gemar bersosial atau keluar merayap, sebaliknya jika ada kelapangan saya lebih suka berehat di rumah," katanya yang pernah dikaitkan dengan beberapa bintang muda termasuk Fizo Omar, Kamal Adli dan terbaru Adam AF2 dikatakan mengatur langkah mendekatinya.

Meleret senyumnya tatkala bercerita mengenai lelaki. Bukan kerana terlalu memilih atau pernah trauma untuk menjalin hubungan, namun Wangi yang juga anak sulung daripada dua saudara tidak mahu niatnya mengejar impian jadi pudar hanya kerana cinta lelaki.

Lama juga gadis ini yang mula mengasah bakatnya menerusi Indonesia Idol kira-kira empat tahun lalu menyusun kata mengatur alasan. Akhirnya dia mengaku dirinya mudah rasa cemburu dan sukar menaruh percaya pada pasangan jika terjerat dalam hubungan cinta.

"Setiap kali memikirkan soal itu, rasa gemuruh dan risau terus menyelubungi diri. Bukan kerana masalah persekitaran atau lelaki yang ingin dekat, namun itu disebabkan diri sendiri.

"Saya sentiasa berprasangka buruk atau tidak senang duduk jika teman lelaki tidak ada di depan mata. Jujurnya diakui, saya kuat cemburu dan sukar mempercayai orang.

"Bagaimanapun, saya memang menyimpan hasrat untuk berkahwin awal jika jodoh dan rezeki itu sudah tersurat. Malah saya tidak kisah jika lelaki itu orang Malaysia.

"Jadi dalam pada sibuk mengikut jadual kerjaya seni TFC, saya sibuk juga mengintai ruang mengenali mana-mana lelaki yang menepati piawaian selera saya.

"Saya tidak pernah memilih atau meletakkan syarat kepada lelaki, sebaliknya jika diberi peluang saya inginkan lelaki yang romantik, jujur, penyayang dan memahami diri saya seadanya. Setakat ini mungkin saat itu belum tiba dan saya akan terus mencuba memburu cinta di Malaysia," katanya berseloroh.

Menyentuh soal kerjayanya yang kini semakin cerah bersama tiga lagi anggota TFC iaitu Cat Farish, Zizie dan Adeep, Wangi menyifatkan rezekinya tidak pernah putus, malah terus komited mengejar kejayaan.

"Kini kami sibuk dalam perangkaan mempromosi lagu terbaru iaitu Pergilah Ayu. Saya bersyukur kerana TFC berjaya menjadi kumpulan yang menerima sokongan kuat daripada peminat, khususnya remaja.

"Justeru, kami berusaha menghasilkan sesuatu yang baru dan segar buat peminat," katanya yang pernah popular menerusi lagu Lari dan Cinta Kosmik.

Dalam diam, gadis yang kini masih menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Pengurusan di Universiti Padjajaran, Bandung ini beberapa kali dilamar untuk bergerak solo. Meskipun mendapat restu dan sokongan daripada teman lain, namun bagi Wangi, rasa yakin belum cukup kuat untuk berdiri sendiri di tengah pentas.

Malah gadis periang ini sentiasa percaya keserasian dan populariti TFC adalah kerana gabungan mereka berempat yang membentuk satu pesona hingga memberi impak kepada peminat.

Selepas kemunculannya di dalam teater Impak Maksima The Musical tahun lalu di Singapura menggalas watak Mimi menggantikan pelakon asalnya, Dynas Mukhtar, Wangi makin ligat menerima tawaran dalam lapangan lakonan pula.

"Tidak pernah saya terfikir untuk menceburi lapangan seni lakon. Namun selepas membintangi Impak Maksima, tawaran datang tanpa henti dan saya pula perlu mempertimbangkan undangan itu kerana gusar ia bertindan dengan jadual persembahan TFC.

"Teman lain tidak pernah menghalang, sebaliknya mereka sentiasa menyokong apa saja yang saya lakukan asal ia tidak mengganggu komitmen dalam TFC.

"Insya-Allah saya akan cuba mencuri masa bagi mengasah bakat supaya ia lebih mantap dan berkesan sebelum benar-benar fokus sebagai pelakon. Masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki.

"Namun yang penting adalah impian saya untuk menjadi penyanyi terkenal terlebih dulu," katanya yang turut berlakon dalam filem Cuti-Cuti Cinta arahan Ahmad Idham.

No comments:

Post a Comment