Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Thursday, January 26, 2012

Izara, Tasha benci Tiz

KEDUA-DUA pucuk muda ini hadir ke dunia seni dengan pakej yang lengkap. Cantik dan berbakat. Namun, tuah Izara Aishah mahupun Tasha Shilla hadir bukan dalam waktu yang pantas. Bakat mereka hanya disedari tatkala lakonan antagonis yang dibawa begitu berkesan di mata peminat.

Watak Fiona yang dijayakan oleh Izara dalam drama bersiri Soffiya masih melekat kuat rasa amarah di hati peminat terhadapnya sehingga kini.

Begitu juga watak Cikgu Ruhana yang dimainkan Tasha menerusi drama Gemilang masih diingati biarpun drama tersebut sudah lama melabuhkan tirainya.

Izara mahupun Tasha bagaimanapun mengaku tidak begitu selesa membawakan watak antagonis yang mampu membuatkan penonton membenci diri mereka namun tidak juga menidakkan tuah populariti yang dikecapi adalah menerusi watak sebegitu. Persamaan turut dikongsi kedua-dua aktres itu apabila dikatakan berdendam dan membenci pelakon Tiz Zaqyah.

Berpeluang bertemu dengan Izara dan Tasha usai sidang media Anugerah Bintang Popular (ABP2011) yang berlangsung di Holiday Villa, Subang, Selangor baru-baru ini, Kosmo! tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan hal itu seterusnya merungkai kisah dendam dan kebencian yang dilemparkan kedua-dua aktres itu terhadap Tiz Zaqyah.

Izara mahukan penghormatan

Sebelum ini kehadiran pemenang tempat kedua Dewi Remaja 2010, Izara, 19, dalam dunia lakonan hanya di pandang sepi. Tidak ramai yang sedar akan kehadirannya dan menganggap pelakon itu sekadar menambahkan muka-muka baharu di persada seni. Khalayak lebih tertumpu kepada Neelofa dan anak dara kepada Rohana Jalil, Khilafairy. Namun, selepas kemunculannya dalam drama Keranamu Laila dan Soffiya, nama Izara mula meniti di bibir peminat.

Dua drama rantaian itu cukup membuatkan nama pelakon muda berasal dari Johor Bahru itu diterima peminat dalam industri hiburan tanah air.

“Drama Soffiya memang memberi impak yang besar kepada Izara. Ia disebabkan, watak Fiona yang begitu membenci dan berdendam dengan ibu tirinya sendiri lakonan Tiz Zaqyah.

“Disebabkan drama itu Izara mula dikenali. Malah, ketika berada di luar ramai yang menegur tetapi tidaklah sampai membenci sehingga sanggup memaki hamun kerana watak antagonis yang dibawa Izara,” ujarnya saat ditanya mengenai impak terhadap watak jahat yang dibawanya.

Izara juga menolak tanggapan dia dan Tiz mempunyai masalah. Menurutnya, lakonan yang dijayakan tidak sampai terbawa-bawa sehingga habis pengambaran drama tersebut.

Sinonim dengan watak antagonis Izara bagaimanapun mengakui kurang selesa dianggap sesuai menjayakan watak sebegitu.

Katanya: “Saya takut peminat menganggap saya sebagai pelakon stereotaip. Kalau boleh Izara mahu berlakon pelbagai watak. Sebenarnya, Izara pernah berlakon watak baik dalam drama Kasih Najihah dan juga watak komedi dalam drama Jejaka J. Namun, peminat masih belum mengenali Izara ketika itu”.

Sering menjayakan drama Izara juga mengimpikan tawaran berlakon filem namun menganggap rezekinya untuk berlakon layar perak masih belum tiba.

Katanya, biarpun ada tawaran berlakon filem tetapi watak yang diterima kadangkala tidak menepati citarasa malah ada juga watak yang diminati tidak kena pula dengan masanya.

Bercerita mengenai projek terbaharunya, ujar pelakon yang sudah mempunyai buah hati tetapi bukan dalam kalangan orang seni itu, sekarang ini dia sedang menjalani penggambaran untuk drama terbaharu iaitu Vanila Coklat.

Drama gandingan kesebelasnya bersama pelakon Iqram Dinzly itu bagaimanapun tidak menunjukkan sisi negatif Izara, sebaliknya dia akan melakonkan watak baik.

Biarpun tawaran mencurah-curah dalam bidang lakonan, Izara bagaimanapun menolak untuk membuat dua kerja dalam satu masa. Dia juga mengakui mengimpikan sebuah penghormatan terhadap kariernya sebagai pelakon.

“Izara lebih selesai menerima satu kerja dalam satu masa. Jadi, Izara dapat menumpukan 100 peratus perhatian dan memberikan yang terbaik dalam lakonan Izara.

“Perjalanan karier Izara masih jauh. Izara mahu hasil kerja Izara nanti diberi penghormatan dan ketika itu baru Izara puas menjadi sebagai seorang pelakon,” tuturnya yang serius menceburi bidang lakonan.

Tasha kemaruk berlakon

Tasha Shilla atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 24, pula mengaku fasa kehidupannya dalam bidang lakonan semakin lancar selepas membintangi drama Gemilang. Cuma, dia memerlukan sedikit masa lagi untuk mengukuhkan namanya di persada seni lakon tanah air.

Sememangnya watak Cikgu Ruhana yang berebutkan Saifullah (lakonan Shahz Jazsle) daripada Asma (Tiz Zaqyah) yang dibawa oleh Tasha berjaya menonjol bakat lakonan gadis berasal dari Kuala Lumpur itu. Akibat daripada perebutan hati Saifullah, Tasha dikatakan mula membenci Tiz. Namun katanya, semuanya itu sekadar lakonannya di dalam drama Gemilang. Realitinya, pelakon berwajah comel itu sangat mengagumi bakat lakonan yang ada pada Tiz.

Baru dua tahun membabitkan diri dalam bidang lakonan, Tasha mengaku apa yang menggembirakan dirinya adalah impian sejak kecil untuk bergelar pelakon akhirnya menjadi kenyataan.

Begitupun, Tasha menolak pandangan nakal yang mendakwa populariti mendadak yang melanda dirinya hari ini bersandarkan pada tuah semata-mata. Hakikatnya dia menyifatkan populariti diri yang dikecapinya itu bertitik-tolak daripada komitmen dan bakat yang dimiliki dalam bidang lakonan. Malah, anak sulung itu juga mengakui hadir dalam dunia seni tanpa bantuan sesiapa.

“Saya pergi sendiri casting drama Kabir Bhatia, Gemilang tanpa ditemani sesiapa. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat watak Cikgu Ruhaya. Memang sejak kecil lagi Tasha impi menjadi seorang pelakon dan sekarang ia sudah tercapai.

“Memang saya akui kehadiran saya dalam bidang seni juga bergantung pada tuah tetapi bukan bersandar kepada tuah semata-mata. Pencapaian kecil yang saya kecapi sekarang adalah kerana kerja keras dan komitmen yang saya curahkan untuk berada dalam bidang ini,” katanya.

Tasha juga tidak meletakkan sasaran berapa banyak job yang harus dia ambil dalam satu masa, asalkan dia mampu melaksanakan semua kerja yang diberi dengan sebaik mungkin.

Kongsi Tasha lagi, dia juga menolak sebarang bentuk kontroversi atau kisah remeh-temeh sebagai senjata untuk membina namanya. Dia menganggap dirinya dikenali ramai kerana kerja dan bukan kerana kontroversi.

“Saya sentiasa ingatkan diri fokus sebenar saya berada dalam bidang ini. Jadi, saya seboleh-bolehnya tidak mahu ada cerita-cerita panas atau kontroversi murah yang dikaitkan dengan diri saya,” katanya senyum tetapi bernada serius.

Pelakon filem Ratu The Movie itu juga sangat berbesar hati apabila orang ramai mengenalinya kerana sesuatu watak yang dilakonkannya dan bukan kerana kisah kontroversi.

Tasha juga tanpa berselindung mengakui dia tidak memerlukan cinta pada masa terdekat ini. Dia juga menolak dakwaan kehadirannya dalam dunia seni semata-mata untuk mengejar insan bergelar VVIP.

“Lakonan adalah kerjaya impian saya dan saya tidak mahu komitmen hubungan cinta akan merosakkan perkembangan kerjaya saya hanya kerana leka dengan permainan cinta,” ungkapnya optimis.

sumber: kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment