Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Monday, January 30, 2012

Kajian kanser Melayu Singapura diperhati

Hasil penyelidikan seorang saintis Melayu yang berpangkalan di United Kingdom telah menarik perhatian masyarakat saintifik dan media di negara itu kerana berpotensi merawat barah.Kajian Dr Elianna Amin, 30 tahun, seorang warga Singapura, yang membentangkan strategi-strategi alternatif menghentikan pertumbuhan barah, telah diterbitkan dalam jurnal saintifik, Cancer Cell, pada 13 Disember lalu.

Dr Elianna (gambar)merupakan penulis pertamanya atau peneraju utama kajian tersebut, yang merupakan sebahagian daripada kajian kedoktoran falsafahnya (PhD).

Bahkan, pentingnya hasil kajian Dr Elianna turut mendapat liputan akhbar Bristol Evening Post.

Dalam satu interviu menerusi e-mel dengan akhbar ini, Dr Elianna berkata pencapaian itu merupakan yang paling membanggakan bagi dirinya, walaupun kajian-kajiannya sebelum ini pernah diterbitkan dalam jurnal lain.

‘Cancer Cell hanya menerbitkan 10 artikel kajian setiap bulan. Memandangkan ada banyak makmal di seluruh dunia, ini merupakan satu pencapaian besar bagi diri saya,’ tulis Dr Elianna, yang telah menghasilkan enam kertas kajian berkaitan barah.

Menurutnya, jurnal Nature – satu lagi jurnal berprestij – akan memaparkan sebuah artikel untuk mereviu kajiannya.

Kajian Dr Elianna mendedahkan bagaimana sejenis protein VEGFxxxb dapat menghentikan pertumbuhan barah dalam sel-sel.

VEGFxxxb wujud secara semula jadi dalam sel-sel biasa tetapi didapati berkurangan dalam sel-sel barah.

Kajian Dr Elianna menunjukkan bagaimana sel-sel barah boleh dirawat dengan merangsang penghasilan VEGFxxxb bagi menghentikan pertumbuhannya.

Tahap seterusnya ialah mengkaji keberkesanan kaedah ini dalam binatang sebelum ia boleh dijadikan ubat bagi merawat barah dalam manusia, kata Dr Elianna.

Ketika melakukan kajian tersebut, Dr Elianna bertugas di bawah dua makmal di dua universiti di Bristol – Universiti West of England (UWE) dan Universiti Bristol.

UWE telah menganugerahkannya biasiswa bernilai £pounds;51,000 atau sekitar $79,000 bagi pengajian PhDnya.

Beliau telah pun selesai kajian PhD-nya pada akhir 2009 dan meraih ijazah tersebut pada Mei 2010.

Dr Elianna kini mengambil kursus poskedoktorannya di King’s College, London.

Beliau telah berkecimpung dalam dunia penyelidikan sains sejak enam tahun lalu apabila memulakan pengajian Sarjana di Universiti Edinburgh.

Ternyata, pencapaian Dr Elianna terbaru ini dirasakan berbaloi setelah meletakkan seluruh jiwa dan raganya demi mencari penawar barah.

‘Kajian saya melibatkan eksperimen yang perlu diulang banyak kali. Sampai nak nangis dibuatnya,’ seloroh Dr Elianna.

Beliau juga mengimbas pengalamannya memandu dalam cuaca bersalji ke Jerman dan kembali ke England untuk mengambil bahan bagi kajiannya.

Sebelum ini, Dr Elianna menjalani program mahasiswanya di Jabatan Biokimia, Universiti Nasional Singapura (NUS), dan merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Woodsville dan Maktab Rendah Yishun.

Anak sulung empat beradik itu sudah bertunang dan bakal mendirikan rumahtangga dengan seorang saintis Jerman yang bekerja di Universiti Cambridge.

No comments:

Post a Comment