"
Kereta dengan tangki minyak muatan 40 liter itu menggunakan 68.079 liter petrol, dengan purata penggunaan 4.218 liter petrol bagi setiap 100 km atau pada kos 0.08 sen bagi setiap km.
Keseluruhan perjalanan itu membabitkan kos minyak sebanyak RM130.71.
Ketua Kejuruteraan Proton, Abdul Wahab Mohamed Khalid, berkata aspek penjimatan minyak antara perkara diberikan keutamaan oleh Proton, terutama dengan keadaan pengguna hari ini yang amat mementingkan soal harga minyak yang tinggi.
“Sehubungan itu, Proton menerima cabaran ini untuk menetapkan rekod penjimatan minyak bagi Proton Savvy,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sijil Malaysia Book of Records dan menyambut kepulangan konvoi kembara Proton Savvy yang mencatatkan rekod penjimatan minyak itu, di Subang Jaya, semalam.
Sijil Malaysia Book of Records diserahkan kepada Abdul Wahab oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi dan disaksikan pemandu Pasukan A1 Malaysia, Alex Yoong.
Abdul Wahab berkata, penyertaan Proton dalam cabaran rekod itu juga bertujuan memberikan kesedaran kepada pengguna mengenai aspek penjimatan minyak yang mampu ditawarkan kereta nasional itu.
“Matlamat utama kami adalah untuk membuktikan bahawa Proton Savvy mampu menawarkan penjimatan minyak yang hebat,” katanya.
Beliau berkata, program itu juga membuka peluang kepada Proton membuktikan Proton Savvy bukan saja menjimatkan minyak, tetapi sebuah kereta teguh dan lasak kerana kejayaan merentasi perjalanan jauh antara tujuh hingga 12 jam bagi perjalanan selama tiga hari.
Perjalanan itu, katanya, melalui pelbagai jenis keadaan jalan raya daripada lebuh raya sehingga pendakian bukit curam dan berliku.
Proton Savvy dengan enjin 1.2 liter itu berada di pasaran lebih setahun lalu dan direka bentuk untuk memberi manfaat dari segi penjimatan kos minyak.
Pada masa sama, ia menawarkan prestasi pemanduan dinamik dan menjadi sebuah kereta yang praktikal.
Sementara itu, Yoong ketika mengulas aspek penjimatan minyak itu, berkata dalam sukan permotoran aspek penjimatan minyak memainkan peranan penting bagi sesebuah pasukan.
“Dalam aspek pemanduan setiap hari pula, sudah tentu ia sesuatu semakin penting disebabkan penjimatan minyak akan membawa kepada penjimatan nilai ringgit dan sen,” katanya.
No comments:
Post a Comment